SUNGAI SIPUT – Ketika ini Barisan Nasional (BN) hanya memutuskan untuk bergabung dengan parti-parti dari Sabah dan Sarawak jika BN menang dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, gabungan dengan parti-parti lain dari Semenanjung Malaysia belum lagi diputuskan oleh BN.
“Kalau kita menang dan kita boleh membentuk kerajaan, jadi sama ada bergabung atau tidak itu akan difikirkan.
“Seperti yang saya sebut di Sarawak semalam kita pasti akan mewujudkan gabungan dengan parti Sabah dan Sarawak.
“Kita tidak boleh terpisah dengan kedua-dua negeri itu. Sabah dan Sarawak mesti menjadi sebahagian daripada parti kita,” kata Ismail Sabri.
Beliau yang akan mempertahankan Parlimen Bera dalam PRU15 berkata, tidak timbul mengenai jajaran baharu dengan parti-parti lain di Semenanjung Malaysia seperti Perikatan Nasional dan Pakatan Harapan.
Perkara itu menurut beliau, hanya akan diputuskan selepas BN berjaya ‘menyeberang jambatan’ PRU15.
“Dengan parti-parti lain ada orang kata jajaran baru, dengan PH.
Balik dengan PN. Dengan Pas.
“Itu lepas pilihan raya kita menyeberang jambatan dulu dan kemudian baru kita putuskan. Bukan secara bersendirian kita mungkin akan panggil mesyuarat khas Majlis Tertinggi UMNO.
“Apa sahaja keputusan yang besar, penggabungan dan sebagainya mesti diputuskan dalam MT UMNO. Ini merupakan keputusan parti,” tegas Ismail Sabri.
Beliau berkata demikian kepada media dalam sidang akhbar selepas menghadiri Majlis Ramah Mesra Bersama Keluarga Malaysia di Felda Lasah, di sini.
Turut hadir Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad yang akan mempertahankan Dewan Undangan Negeri Kota Tampan dan Presiden MIC, Tan Sri S A Vigneswaran yang bertanding di Parlimen Sungai Siput
Ismail Sabri diminta mengulas laporan media bahawa Setiausaha Agung Pas Datuk Seri Takiyuddin Hassan bahawa Perikatan Nasional sedia bekerjasama dengan BN dan membentuk kerajaan campuran selepas PRU15.
Bagaimanapun hari ini Takiyuddin berkata, media telah mengambil kenyataan tersebut di luar konteks.
Selain itu, Takiyuddin juga menegaskan tajuk yang digunakan oleh beberapa media telah mengelirukan pengundi.
“Saya ingin tegaskan di sini bahawa saya berkeyakinan penuh PN akan dapat membentuk kerajaan secara bersendirian dan Perdana Menteri adalah daripada Perikatan Nasional.
“Kami percaya rakyat akan lebih yakin dengan tema PN iaitu prihatin, stabil dan bersih,” katanya. – MalaysiaGazette