kerajaan komunis
Abdul Hadi Awang

PORT DICKSON – Rakyat diingatkan supaya tidak lupa tentang pengaruh prokomunis yang muncul semula ketika Pakatan Harapan (PH) berkuasa selepas PIlihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, terdapat pihak yang meminta kerajaan membenarkan mayat bekas Setiausaha Agung Parti Komunis Malaysia (PKM), Chin Peng dibawa pulang ke negara ini.

Selain itu, menurut beliau, ada pihak yang mendesak agar pengganas komunis yang melawan British diiktiraf sebagai pejuang kemerdekaan.

“Ini masalah, bila kita kata dia komunis, dia tuduh Pas Taliban,” katanya ketika berucap pada Ceramah Umum PRU-15 di sini, malam tadi.

Yang turut hadir, Penasihat Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Negeri Sembilan, Tan Sri Dr. Rais Yatim dan calon Perikatan Nasional (PN) bagi kerusi Parlimen Port Dickson, Rafiei Mustapha.

Abdul Hadi turut mengecam agenda reformasi yang dipopularkan Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 1998.

Calon PN bagi kerusi Parlimen Marang itu memberitahu, dengan bermodalkan slogan reformasi, Anwar meminta rakyat berdemonstrasi di jalanan bagi menentang kerajaan yang dipimpin Tun Dr. Mahathir Mohamad.

“Kami lihat bertempur dengan polis. Polis orang kita bukan orang lain. Berdarah masuk hospital, bertumbuk sesama kita cuma tak guna peluru.

“Ini pendekatan yang tidak betul lalu kami arahkan orang Pas jangan turun,” jelasnya.

Beliau juga berharap agar rakyat tidak mengulangi kesilapan dengan mengundi PH yang terbukti gagal menunaikan janji-janji seperti memansuhkan kutipan tol, menurunkan harga minyak dan menghapuskan bayaran balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN). – MalaysiaGazette