BALIK PULAU – Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli mengingatkan semua pemimpin Pakatan Harapan (PH) agar tidak lupa diri serta rakyat sekiranya diberi mandat membentuk kerajaan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Katanya, ia susulan kegagalan PH membawa isu membela rakyat selepas kemenangan PRU14 mendapat isyarat yang jelas daripada pengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) di Melaka dan Johor.
Bagaimanapun, Rafizi mendakwa keyakinan rakyat terhadap PH kini semakin memberangsangkan apabila parti itu kembali membawa isu rakyat dan ia perlu diteruskan sekiranya PH diberi mandat menerajui negara pada 19 November ini.
“Beza kita dengan UMNO selepas kalah, kita tak buat bodoh dan tak pertahankan atau menegakkan benang yang basah.
“Memang pedih (isyarat dari rakyat). Tetapi dalam tempoh enam bulan kita perbetulkan semula hala tuju kita dan rakyat telah kembali bersama-sama PH dan insya-Allah kita akan ke Putrajaya.
“Jadi saya nak ingatkan kepada semua pemimpin PH agar tidak lupa diri dan rakyat selepas mendapat mandat pada PRU15. Bagaimana kita turun tak kira hujan, panas ketika ini untuk bela nasib rakyat itu harus diteruskan selepas menang nanti,” katanya ketika berucap dalam ceramah PH di pekan Balik Pulau, di sini, malam tadi.
Selain itu, dalam ucapan sama, Rafizi mendakwa PH mampu memperoleh lebih 90 kerusi Parlimen pada PRU15 dengan kemenangan dicapai di negeri kubu kuatnya di Perak, Selangor, Kuala Lumpur dan Negeri Sembilan.
Jelasnya, negeri tumpuan terbaru gabungan itu ialah Perak, di mana terdapat peningkatan ketara sokongan daripada pengundi Melayu.
“Saya yakin kami akan bergelut dengan Perak. Hanya tinggal Melaka dan Johor, yang pernah menyumbang jumlah kerusi besar ketika kita membentuk Kerajaan Persekutuan sebelum ini.
“Kita sudah melepasi 90 kerusi ketika berbaki empat hari lagi kempen. Jika keadaan baik, tiada banjir, tiada ribut dan dengan pemimpin UMNO terus bergaduh sesama sendiri, kita akan melepasi 100 kerusi dan kita akan dapat membentuk Kerajaan Persekutuan baharu dalam masa kurang seminggu,” katanya. – MalaysiaGazette