JERANTUT – Peneroka di 13 buah rancangan di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Tawar di sini dapat merealisasikan sokongan atas kertas undi dengan memberi kemenangan kepada calon Barisan Nasional (BN), Datuk Nazri Ngah pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Pengerusi Felda, Tan Sri Idris Jusoh yakin akan ada peningkatan sokongan kira-kira 30 peratus dengan dengan melihat sokongan padu yang ditunjukkan daripada peneroka di kawasan tertentu.
Katanya, sangat mustahil peneroka menyokong parti pembangkang kerana Felda sudah melakukan pelbagai usaha yang terbaik dan cemerlang untuk meringankan beban peneroka sebelum ini berikutan kejatuhan harga sawit.
“Felda telah menghapuskan hutang peneroka yang terbeban sebelum ini, ini antara usaha untuk menjaga kebajikan dan meringankan beban yang ditanggung peneroka.
“Selain itu isu Perumahan Generasi Baharu Felda (PGBF) di 10 lokasi di negeri ini dengan membaik pulih 1,850 unit rumah demi manfaat anak peneroka untuk memiliki kediaman sendiri selepas kerja membaik pulih selesai secara berperingkat telah diusahakan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas majlis ramah mesra dengan ketua peneroka dan cawangan UMNO DUN Pulau Tawar di Galeri Mat Kilau, Bukit Rang, Jerantut hari ini.
Selain itu, Felda berterima kasih kepada Nazri yang juga Ahli Lembaga Pengarah Felda yang berusaha keras bagi membolehkan kerajaan negeri di bawah Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail menyelesaikan isu PGBF dengan menyerahkankepada pemaju untuk kerja membaikpulih bagi meringankan pengurusan Felda di empat daerah terbabit.
“Kita contohi dan berikan sokongan kepada kepimpinan Datuk Nazri yang prihatin dengan kebajikan generasi kedua Felda di Pahang tanpa usaha dan cadangan beliau, isu PGBF di Pahang masih belum selesai sehingga ini.
“Selain itu, Nazri turut menyelesaikan isu lot tanah di kawasan Felda, ketika beliau memegang jawatan Exco kerajaan negeri berkaitan Felda dan berjaya menyelesaikan perkara ini dan seramai 4,081 anak peneroka akan menikmati kemudahan tersebut,” katanya. – MalaysiaGazette