Mohd Yusoff memapah seorang OKU yang juga mangsa banjir yang tiba di PPS Dewan Besar Desa Puri, Tasek Gelugor.

TASEK GELUGOR –  Calon ‘kerusi panas’ Barisan Nasional (BN) Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Muhamad Yusoff Mohd Noor tidak kisah beliau digelar ‘underdog’ ataupun calon kampung.

Sebaliknya, beliau mengakui lebih gemar mendekati pengundi berbanding bangkitkan isu nasional untuk kelihatan popular di khalayak ramai ketika berkempen pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

“Orang kata saya ni pemimpin kampung tapi pendekatan yang saya buat selama dua penggal selaku Ahli Dewan Undangan Negeri turun menyantuni dan menyelesaikan masalah rakyat membuatkan saya lebih dikenali dalam kalangan mereka.

“Ramai beranggapan saya tak mampu menggalas tugas sebagai ahli parlimen tapi bagi saya itu hanya satu andaian.

“Saya akan bawa suara penduduk Tasek Gelugor di Parlimen kerana itu tugas dan tanggungjwab yang perlu saya laksanakan nanti apabila diberi mandat,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette semalam.

Menyantuni sendiri penduduk menjadikan Mohd Yusoff lebih dikenali dalam kalangan penduduk setempat.

Beliau sebelum itu, meluangkan masa melawat mangsa banjir di Dewan Besar Desa Puri, di sini.

Kata Mohd Yusoff, beliau yakin calon pandai berinteraksi dan tahu isu-isu mikro dalam sesebuah kawasan akan menjadi senjata kuat untuk mencuri hati pengundi.

“Saya akan meneruskan kerja menyantuni serta menyelami masalah penduduk yang berbaki 30 peratus dalam tempoh beberapa hari ni sebelum menyerahkan kepada pengundi untuk menilai dan membuat keputusan,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Muhamad Yusoff yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Dua berkata, misi dan fokus utamanya sekiranya dipilih sebagai wakil rakyat di Parlimen itu adalah mahu menjadikan Tasek Gelugor sebuah kawasan pinggir bandar yang pesat membangun.

Sehubungan itu tambahnya, manifestonya di Parlimen Tasek Gelugor juga memberi tumpuan yang lebih inklusif merangkumi pelbagai sudut termasuk Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET), pertanian moden dalam kalangan anak muda, ekonomi, perumahan, pelancongan serta industri luar bandar.

“Saya nak pastikan masalah rakyat selesai selain menjadikan kawasan ini maju lebih dikenali di peringkat lebih tinggi,” katanya.

Kerusi Parlimen Tasek Gelugor menyaksikan persaingan lima penjuru dengan empat lagi calon bertanding iaitu Perikatan Nasional (PN), Datuk Wan Saiful Wan Jan; Nik Abdul Razak Nik Md Ridzuan (PH) serta calon Warisan; Mohamad Akmal Azhar dan Abdul Halim Sher Jung (GTA-Pejuang). – MalaysiaGazette