Datuk Armand Azha Abu Hanifah
Armand Azha Abu Hanifah

SUBANG – Dapatan hasil kajian beberapa badan bukan kerajaan (NGO) berhubung keputusan Pilihan raya Umum ke-15 (PRU15) yang viral baru-baru ini, secara jelas menunjukkan Barisan Nasional (BN) mengatasi kerusi yang ‘dimenangi’ Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN).

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Arman Azha Abu Hanifah berkata, keseluruhan keputusan itu menunjukkan PH mendapat antara 70 hingga 80 kerusi Parlimen, sedangkan baki daripada 222 kerusi lagi dimenangi BN.

Ini katanya, bertepatan dengan ramalan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan timbalannya, Rafizi Ramli.

“Anwar memberitahu rakyat dalam ceramahnya, PH mendapat 100 kerusi, manakala Rafizi pula menyatakan 80 kerusi. Maknanya baki lagi antara 122 hingga 142 kerusi adalah milik BN.

“Presiden PKR ini suka bercerita benda hebat dari orang lain, sedangkan Rafizi itu Pengarah Pilihan Raya PH. Apabila mereka berdua meletakkan angka itu, sedangkan kerusi yang dipertandingkan 222 Parlimen, adakah mereka nak beritahu BN menang 122 kerusi dan 142 kerusi?

“Ini yang menimbulkan kegusaran dua pemimpin berkenaan, dengan harapan mereka sudah dapat memerintah PRU15 ini. Hakikatnya, jumlah itu tidak dapat meletakkan PH untuk membentuk kerajaan,” katanya menerusi bual bicara di sebuah televisyen internet di sini, hari ini.

Menurut Ketua UMNO Bahagian Subang itu, PH suka bermain dengan nombor, tetapi selalunya tidak pernah menjadi kenyataan, kerana angka yang dibentangkan itu untuk mengelirukan rakyat.

Mengenai manifesto, Arman Azha menyatakan BN menawarkan janji yang boleh dicapai dan dilaksanakan untuk rakyat jika diberi mandat untuk memerintah.

“Tetapi, kenapa sampai sekarang PH tidak berani menawarkan manifesto mereka? Kenapa takut hendak keluarkan manifesto secara keseluruhannya?

“Kerana mereka tahu kalau mereka keluarkan manifesto sebagaimana BN buat, rakyat tidak akan percaya kepada PH.

“Rakyat sudah fobia dengan manifesto PRU14, apabila sebaik membentuk kerajaan, pemimpin mereka menyatakan di Parlimen bahawa manifesto bukan kitab suci yang boleh ditunaikan,” katanya.

Beliau turut menjelaskan kenapa Anwar dan Rafizi ketika ini ghairah menyerang pemimpin UMNO terutama di Selangor.

Ini katanya, disebabkan mereka sedar kebangkitan rakyat di Selangor amat luar biasa daripada sebelum ini, menyebabkan kedua pemimpin itu bekerja keras untuk menghakis kepercayaan rakyat kepada BN. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast