Datuuk Seri Hazani Ghazali . Foto MUHD NA'IM, 11 APRIL 2022.

KUALA LUMPUR – Dua orang individu sedang disiasat oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) selepas disyaki bertindak mendedahkan kertas undi pos dengan membuat siaran secara langsung di media sosial semalam semasa proses mengundi awal Pilihan Raya Umum Ke-15.

Pengarah Operasi PRU15, PDRM, Datuk Seri Hazani Ghazali berkata, laporan polis telah dibuat seorang pegawai polis selepas melihat satu hantaran berkaitan insiden itu tular di Twitter.

“Pengadu yang bertugas di Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman melayari internet dan mengesan gambar tangkap layar video seorang pengguna TikTok menggunakan nama ‘sifulife’.

“Siasatan terhadap gambar tangkap layar itu memaparkan seorang individu disyaki menjalankan proses undi pos sambil bersiaran di TikTok dan gambar itu kemudian dikongsikan di Twitter atas nama @injang_nation,” katanya beliau dalam kenyataan di Bukit Aman di sini.

Tambah beliau, dalam perkara berkaitan pengadu juga berjaya mengesan satu lagi perbuatan sama oleh seorang individu lain yang mendedahkan kandungan kertas undi pos melalui akaun Tiktok ‘arielprimepicture_2nd’ termasuk nombor kertas undi dapat dilihat dengan jelas.

“Kedua-dua kes sedang disiasat oleh Polis Daerah Wangsa Maju mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1988 kerana penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian.

“Kes juga sedang disiasat polis di bawah Seksyen 5(6) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954,” tambah beliau.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast