KUALA LUMPUR – Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man membuat satu tindakan yang janggal apabila bertanding di dua kerusi yang berbeza.
Presiden Pertubuhan Suara Anak Pahang (PSAP), Haslihelmy DM Zulhasli berkata, beliau hairan dengan tindakan itu kerana jarak antara Dewan Undangan Negeri (DUN) Cheka di Pahang adalah lebih 400 kilometer dari Parlimen Kubang Kerian di Kelantan.
“Kawasan mana yang sebenarnya hendak diberikan tumpuan oleh Timbalan Presiden Pas itu? Adakah Cheka atau Kubang Kerian?
“Mampukah Tuan Ibrahim berkhidmat kepada rakyat di dua kawasan dalam satu masa?
“Tidakkah Tuan Ibrahim memikirkan tentang itu sebelum membuat keputusan bertanding di dua kerusi tersebut pada PRU15 kali ini?, soal Haslihelmy.
Menteri Alam Sekitar dan Air (KASA) itu bertanding di dua kawasan apabila menghantar borang permohonannya di DUN Cheka dan Parlimen Kubang Kerian.
Difahamkan, Tuan Ibrahim ditempatkan di DUN Cheka bagi memastikan beliau dilantik sebagai Menteri Besar Pahang yang baharu sekiranya Perikatan Nasional (PN) membentuk kerajaan negeri, Sabtu ini.
Justeru, Haslihelmy menasihatkan pengundi-pengundi di DUN Cheka agar bijak memilih pemimpin yang boleh bekerja untuk pengundi.
“Usahlah memilih wakil rakyat yang hanya datang sekali sekala dan belum tentu dapat memberikan perkhidmatan yang memuaskan hati dan tumpuan sepenuhnya kepada rakyat yang diwakilinya.
“BN Pahang sudah memilih calon wakil rakyat BN dari MCA, Ho Fong Mee untuk bertanding di Cheka merupakan anak tempatan Lipis yang sudah tahu dan mengenali rapat penduduk setempat,” katanya lagi.
DUN Cheka menyaksikan pertembungan empat penjuru antara PN, Barisan Nasional (BN), Pakatan Harapan (PH) dan Parti Pejuang Tanahair (Pejuang) di bawah Gerakan Tanah Air (GTA). – MalaysiaGazette