GOMBAK – Pilihan Raya Umum ke 15 (PRU15) amat berbeza berbanding PRU-PRU sebelum ini kerana ia akan ditentukan oleh kira-kira tujuh juta pengundi muda.
Sehubungan itu, Presiden Parti Ikatan Demokrasi Malaysia (MUDA), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menyeru semua anak muda keluar mengundi untuk menentukan kerajaan.
“Buat pertama kali dalam PRU majoriti pengundi di bawah 40 tahun. Anak muda boleh menjauhi politik tapi politik tidak menjauhi kamu.
“Kalau anak muda tak keluar mengundi, orang lain yang akan tentukan masa depan kita semua,” katanya ketika berucap dalam grand finale jelajah mega PH di Dewan Serbaguna AU2 Keramat, malam tadi.
Ceramah itu turut dihadiri pemimpin-pemimpin Pakatan Harapan (PH) antaranya Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook, Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu dan Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Berdasarkan data Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), sebanyak 58 peratus daripada lebih 21 juta pemilih berdaftar PRU15 ialah mereka yang berusia 18 hingga 40 tahun.
Mereka yang berusia 18 hingga 20 tahun pula merangkumi 16 peratus daripada 6.9 juta pengundi baharu. – MalaysiaGazette