JASIN – Calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Jasin, Datuk Roslan Ahmad akan memfokuskan bertemu pengundi muda untuk membetulkan persepsi mereka terhadapnya dan parti di media sosial pada pecutan akhir kempen yang berbaki dua hari lagi.
Timbalan Ketua UMNO Bahagian Jasin itu berkata, beliau dan jentera parti akan memperhebatkan kempen pada sebelah malam khusus untuk berjumpa dengan pengundi muda menjelang hari pengundian Sabtu ini.
“Setakat hari ini, sejak hari pertama penamaan calon 5 November lalu saya anggarkan telah bersemuka dengan hampir 40,000 pengundi dan akan melipatgandakan tugas ini bertemu seramai mungkin pengundi.
“Cuma dalam berbaki dua hari lagi kempen sehingga tengah malam Jumaat ini, saya akan gunakan waktu malam untuk bertemu pengundi muda bagi membetulkan persepsi negatif mereka terhadap isu-isu setempat yang dimainkan di media sosial,” katanya di sini hari ini.
Menurutnya, usaha itu penting kerana kebanyakan dakwaan yang dilemparkan di media sosial bukan sahaja mengelirukan, bahkan ada yang direka-reka untuk menidakkan usaha dilakukan kerajaan di kubu kuat BN itu.
“Macam pengundi berusia pertengahan dan veteran, mereka sudah lihat banyak jasa dan kelebihan apabila memilih BN, tapi pengundi muda ini mereka lebih banyak terdedah di media sosial dan percaya apa yang dilihat itu.
“Jadi saya kena betulkan tanggapan salah itu berbekalkan pengalaman saya selama hampir 30 tahun berkhidmat di Bahagian Jasin ini yang sudah masak dengan pelbagai isu di setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam Parlimen Jasin,” katanya.
Roslan yang juga bekas ADUN Merlimau berkata, banyak projek-projek yang telah dirancang kerajaan di daerah itu termasuk rancangan tebatan banjir (RTB) yang hanya menunggu masa untuk direalisasikan selepas BN menang Sabtu ini.
“Sebab itu saya kata, kalau BN berjaya ke Putrajaya, kita terus bergerak untuk teruskan projek yang telah lama tertangguh, tak perlu lagi ambil masa satu dua tahun untuk nilai masalah,” katanya.
Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) Sabtu ini menyaksikan Roslan dicabar mempertahankan kerusi tradisi BN itu berdepan dengan Datuk Harun Mohamed (PH), Pesuruhjaya Pas Melaka, Zulkifli Ismail (PN) dan Datuk Mohd Daud Nasir (Pejuang) – MalaysiaGazette.