BAYAN LEPAS – “Saya didenda lari lima pusingan padang bola selain perlu membawa tong air minuman hampir tujuh kilogram naik turun tangga enam tingkat jika gagal memperdayakan mangsa warga China menerusi panggilan penipuan dalam talian,”.
Perkara itu didedahkan Koh Sheng Yur, 19, mangsa sindiket penipuan kerja di KK Garden, Myanmar yang selamat pulang ke pangkuan keluarga selepas terperangkap di negara tersebut sejak April.
Pemuda itu berkata tawaran kerja dengan gaji RM5,000 yang diiklankan di Facebook membuatkan dia nekad untuk ke Kelantan.
“Ikutkan perician iklan mereka tulis kerja di Kelantan sahaja sebab itu saya tidak bawa pasport bersama tetapi bila sampai sana (Kelantan) kami dibawa masuk ke Thailand dengan bot melalui Sungai Golok serta beberapa jalan tikus.
“Setelah tiba di negara tersebut kami diminta melakukan kerja-kerja memperdayakan warga China dan jika gagal tiada sebarang bayaran gaji diberikan.
“Itu rutin saya termasuk lebih 200 lagi rakyat Malaysia di sana. Tiada hari yang tenang di sana malah setiap kali menelefon keluarga sindiket berkenaan duduk bersama bagi memastikan tiada cerita buruk disampaikan kepada keluarga di Malaysia,” katanya kepada pemberita hari ini.
Tambah Sheng Yur, orang ramai khususnya anak muda diingatkan supaya tidak terpedaya dengan iklan pekerjaan yang menawarkan gaji lumayan kerana ia merupakan satu taktik sindiket.
Terdahulu, Sheng Yur serta ibunya Madam Loke tiba di Lapangan Terbang Pulau Pinang untuk berjumpa dengan calon Bebas Balik Pulau, Datuk Seri Johnny Ch’ng Ewe Gee yang membantunya pulang ke pangkuan keluarga.
Sheng Yur serta ibunya turut merakamkan ucapan terima kasih kepada calon tersebut yang bertungkus lumus sejak beberapa bulan lalu untuk mereka sampai ke tahap ini.
Sementara itu, Johnny Ch’ng berkata, dia membantu keluarga tersebut atas dasar seorang ahli perniagaan yang mempunyai kenalan di negara Thailand.
“Ketika membantu mereka saya bukan calon Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) tapi bila lihat isu utama anak muda merantau disebabkan peluang pekerjaaan serta tawaran gaji jadi saya rasa sudah tiba masanya untuk saya pastikan ia tidak berlaku di Balik Pulau.
“Sekiranya diberi mandat di Parlimen Balik Pulau saya akan pastikan wujud peluang pekerjaan buat anak muda di sini,” jelas beliau. – MalaysiaGazette