Muhammad Haikal ditemui pensyarahnya sebelum dihantar pulang ke Kelantan dengan kenderaan kolej. Gambar - ihsan Kolej Komuniti Kepala Batas

KEPALA BATAS – Demi memastikan pengalaman pertama mengundi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) terlaksana pada Sabtu ini, seorang pelajar kolej komuniti di sini nekad berjalan kaki pulang ke Kelantan.

Muhammad Haikal Noor Azmin, 18, dikatakan berjalan kaki susulan tiket bas untuk pulang ke kampung halamannya habis.

Pelajar bidang Siji Animasi 2D yang juga orang kelainan upaya (OKU) itu ditemui sedang berjalan kaki dan menyorong beg pakaian seorang diri ditemui pensyarahnya yang kebetulan dalam perjalanan pulang ke rumah di sekitar Jalan Bertam Indah 2 kira-kira jam 7 malam, semalam.

Pengarah Kolej Komuniti Kepala Batas,Ts Jasni Mohd Yusof berkata, meskipun ditemui dalam keadaan letih, pelajar yang kurang sempurna dari segi pergerakan dan pertuturan itu tetap mahu meneruskan perjalanan pulang ke kampung.

“Bagi memastikan keselamatan dan kebajikan pelajar itu terjamin, Kolej Komuniti Kepala Batas mengambil inisiatif menghantar pulang Muhammad Haikal ke Kelantan bagi tujuan mengundi dengan menggunakan kenderaan jabatan pada hari ini.

“Sumbangan telah dibuat oleh semua kakitangan Kolej Komuniti Kepala Batas bagi memudahkan urusan perjalanan pelajar berkenaan,” katanya ketika dihubungi.

Sementara itu, Muhammad Haikal berkata, dia terharu dengan bantuan yang dihulurkan oleh pihak Kolej Komuniti Kepala Batas.

“Bantuan yang diberikan itu dapat meringankan beban keluarga saya,” katanya yang kehilangan ayah pada berusia 11 tahun. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast