IPOH – Calon atau parti politik yang bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) boleh menyerahkan bantuan kepada Pejabat Daerah dan Tanah untuk diagihkan kepada mangsa banjir di Perak.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, tindakan itu dapat membantu calon daripada dipersoalkan dan dituduh melanggar peraturan yang ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Tambahan pula katanya, pihak pejabat daerah dan tanah di negeri ini telah siap siaga dengan segala bentuk keperluan untuk membantu mangsa banjir.
“Memang boleh membantu orang yang susah malah Barisan Nasional (BN) sentiasa menjadi yang pertama tampil memberi sumbangan dan bantuan kepada yang memerlukan. Kita tidak akan berdiam begitu sahaja.
“Cuma kita tidak boleh sembarangan memberi barangan atau wang untuk tujuan meraih undi.
“Dari segi bantuan banjir pula, kalau nampak orang yang hampir lemas dan kita pula ada sampan, tidak mungkinlah kita sanggup membiarkan mereka.
“Saya amat yakin SPR juga faham situasi itu, kita semua manusia,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Perjumpaan Cikgu Saarani Mohamad Bersama Calon dan Pengundi Tebing Tinggi, hari ini.
Dalam pada itu, Saarani juga memaklumkan pihaknya sudah bersiap untuk menghadapi situasi banjir terutamanya pada hari pengundian, 19 November ini.
“Kita sudah melakukan persiapan dari segi keperluan mangsa-mangsa dan membuka pusat-pusat pemindahan sementara (PPS).
“Saya dapati di sebelah utara sekurang-kurangnya kita ada dua tempat.
“Pegawai daerah memaklumkan, di sebelah Kerian, kita gunakan Sekolah Kebangsaan (SK) Changkat Lobak dan SK Matang Gerdu sebagai PPS dan sekolah yang sama akan jadi pusat mengundi pada hari Sabtu ini.
“Tidak perlu panik, saya tengok tak ada masalah kerana sekolah itu luas, bangunan mencukupi, bilik darjah mencukupi dan akan dibuat dinding untuk mengelakkan daripada percampuran di antara pusat mengundi dengan PPS,” ujarnya. -MalaysiaGazette