ALOR GAJAH -Menyelesaikan karenah birokrasi yang menyukarkan prosedur mendapatkan bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Itu antara agenda yang akan dilaksanakan calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Alor Gajah, Shahril Sufian Hamdan jika diberi mandat pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), Sabtu ini.
Beliau yang juga Ketua Penerangan UMNO berkata, isu birokrasi melibatkan prosedur JKM adalah rungutan terbanyak diterima semasa kempennya sejak 5 November lalu
“Ini adalah salah satu perkara dasar yang hendak saya laksanakan atau bincangkan dengan pihak JKM di peringkat pusat dan daerah kerana terlalu banyak kes yang mana saya pergi ke rumah ada sahaja yang mengatakan terlalu susah nak dapat bantuan ini.
“Bila dapat bantuan pula, ada yang boleh dipotong atau dibatal disebabkan birokrasi dan mungkin niat penjawat-penjawat awam itu betul tapi kami yang bergelumang dengan masyarakat di bawah ini lebih tahu realiti sebenarnya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas melawat Pusat Daerah Mengundi, PDM, Jeram, di sini.
Menurut Shahril, antara kesukaran yang dialami pemohon untuk mendapatkan bantuan ialah kaedah penilaian tahap kemiskinan penduduk yang terlalu ketat.
“Misalnya permohonan isi rumah akan ditolak jika memiliki saluran televisyen berbayar di rumah mereka sedangkan dalam keadaan hari ini, itu tidak mencerminkan kedudukan kewangan sebenar isi rumah.
“Saya percaya, prosedur ini antaranya mungkin boleh dilonggarkan sedikit agar semua yang layak mendapat manfaat daripada bantuan JKM,” katanya. – MalaysiaGazette.