KUALA LUMPUR – Pilihan raya bagi Parlimen Padang Serai tidak perlu ditangguhkan atau diberi tarikh baharu susulan kematian salah seorang calonnya, M Karupaiya, semalam.
Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, ini kerana dalam Peraturan 11 (6) Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Penjalanan Pilihan Raya) 1981, menyatakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hanya boleh menetapkan tarikh baharu sebelum pengundian dimulakan sama ada melalui pengundian awal atau menjelang hari pengundian.
“Dalam kes Padang Serai, undi awal sudah berlangsung pada 7 November dan 15 November bagi anggota polis dan angkatan tentera termasuk pasangan mereka, justeru gesaan penangguhan mustahil untuk dilaksanakan.
“Penamaan calon baharu di Padang Serai tidak mungkin dapat dilakukan kerana undi awal sudah dilaksanakan maka dengan mengambil kira pengundian sudah berjalan dan tidak boleh ditarik balik.
“Tambahan pula, tiada peruntukan undang-undang bagi menamakan calon baharu selepas pengundian berlangsung,” katanya dalam kenyataan di Facebook, hari ini.
Beliau yang juga Ketua Pasukan Petugas Khas Demokrasi dan Undang-undang Barisan Nasional (BN) berkata, pilihan raya di Padang Serai perlu diteruskan tanpa SPR menetapkan tarikh baharu atau menangguhkan PRU15.
“Mendiang M Karupaiya merupakan Ahli Parlimen yang luar biasa dan rakan baik kepada ramai kalangan dari dua kem berbeza. Saya mengucapkan takziah kepada ahli keluarganya. Pemergian mendiang akan sentiasa dirindui, katanya lagi.
Semalam, Karupaiya disahkan meninggal dunia akibat serangan jantung di Hospital Kulim, Kedah, kelmarin.
Pada PRU14, Karupaiya memperolehi 31,724 undi mengatasi calon Pas, Muhamad Sobri Osman yang mendapat 22,911 undi dan Datuk Dr. Leong Yong Kong daripada Barisan Nasional (BN) yang memperoleh 15,449 undi.
Selain Karupaiya yang dinamakan PH untuk mempertahan kerusi Padang Serai, lima lagi calon yang mahu merebut kerusi di situ adalah Hamzah Abd Rahman mewakili Pejuang; Datuk C. Sivaraj (BN); Datuk Azman Nasrudin (Perikatan Nasional); Mohd. Bakhri Hashim (Warisan) dan Sreanandha Rao (Bebas). – MalaysiaGazette