KUALA LUMPUR – Barisan Nasional (BN) perlu menang dengan majoriti besar bagi membuktikan parti itu benar-benar diterima pengundi.
Calon BN Parlimen Batu, Datuk A. Kohilan Pillay berkata, ia juga akan menunjukkan bahawa rakyat tidak boleh ditipu lagi.
“Kalau tidak dia akan turun padang lima tahun sekali, berdrama, menangis dan merayu ambil undi rakyat Batu lepas itu tak buat apa-apa,” katanya ketika berucap di Bandar Baru Sentul, di sini, hari ini.
Hadir sama Pengerusi BN Batu yang juga Ketua Bahagian UMNO Batu, Datuk Seri Yahaya Abd Ghani serta ketua-ketua bahagian parti komponen BN.
Sementara itu, Kohilan berkata, jentera pilihan raya BN Batu akan melipat gandakan kempen dengan melakukan ceramah berkelompok bagi menarik pengundi.
Katanya, sejak hari pertama kempen, pihaknya sentiasa memberi tumpuan kepada pengundi muda dan respon yang diterima daripada mereka sangat memuaskan.
Tambah beliau, golongan muda mahukan perubahan dan masa depan yang terjamin di bawah BN. – MalaysiaGazette