Gambar Hiasan. foto SYAFIQ AMBAK, 16 NOVEMBER 2019

PEMIMPIN  adalah penyempurna kewajipan Syariat Islam. Ini kerana Agama Islam hanya tertegak melalui penubuhan sebuah negara muslim. Apabila umat Islam tidak mempunyai negara maka Syariat Islam juga tidak dapat ditegakkan sepenuhnya dalam setiap kehidupan. Untuk mentadbir sesebuah negara umat Islam perlukan pemimpin yang berwibawa dan berintegriti tinggi. Oleh itu kempimpinan dalam Islam dianggap perkara paling utama dan terpenting sehinggakan pengebumian Nabi Muhammad s.a.w. dilewatkan disebabkan menunggu untuk melantik khalifah yang memimpin dan meneruskan perjuangan Nabi s.a.w. Melalui pemimpinlah segala kewajipan ajaran Islam dapat ditegakkan dan dilaksanakan. Dalam hal ini memilih pemimpin yang layak dan berkompeten adalah suatu kefarduan bagi setiap umat Islam berdasarkan kemampuan dan sumbangan terdaya masing-masing.

Kepentingan memilih pemimpin

Malaysia sebagai sebuah negara yang mengamalkan sistem demokrasi dalam pemilihan kepimpinan. Perdana Menteri dilantik dari kalangan parti yang mempunyai kemenangan majoriti dalam pilihan raya umum. Pemimpin dipilih melalui pembuangan undi bagi setiap lima tahun. Pemimpin atau sesebuah kerajaan yang memerintah Malaysia lazimnya hanya boleh ditentukan atau ditukar melalui pilihan raya umum walaupun terdapat kes tertentu kerajaan ditukar berdasarkan bilangan sokongan ahli parlimen sebagaimana yang berlaku sebelum ini. Untuk mewujudkan negara yang benar-benar cemerlang dan gemilang, Malaysia perlu memiliki barisan para pemimpin yang sesuai dan berkelayakan. Persoalannya dalam pru-15 yang akan bermula esoknya, apakah kriteria pemimpin yang sewajarnya dipilih oleh para pengundi untuk memastikan mereka bersama-sama menggembleng tenaga mentadbir negara ini dengan cemerlang dan gemilang.

Pemimpin sebagai perisai umat Islam

Kepimpinan dalam Islam melibatkan pelaksanaan kebajikan dan kemaslahatan umat Islam di dunia dan di akhirat. Manakala bagi bukan Islam pula hak dan kebajikan mereka dijamin dan dipelihara sehingga terdapat kaedah yang masyhur iaitu lahum ma lana wa ‘alaihim ma ‘alayna (Kita bertanggung jawab melindungi hak yang mereka miliki dan mereka pula bertanggung jawab melindungi hak yang kita miliki). Sesebuah negara itu tidak hanya dipimpin ke arah melahirkan negara yang zero rasuah tanpa menghiraukan rakyatnya yang bergelumang dengan pelbagai penistaan, kemunkaran dan kemaksiatan lain seperti pelacuran, perjudian, kebejatan budaya dan sosial, perleluasan minuman arak, pengkhianatan, pengabaian tanggung jawab, kebobrokan integriti, penindasan dan penghapusan hak-hak rakyat yang telah dimiliki dan dijamin dalam perlembagaan dan lain-lain. Ini kerana walaupun rasuah amat ditegah oleh Syarak namun ia hanya sebahagian kemungkaran yang wajib ditegah oleh pemerintah dan dijauhi rakyat.

Walaupun negara akan beransur rosak jika rasuah tidak diperangi namun negara juga akhirnya akan musnah apabila kemaksiatan dan kebatilan tidak dicegah. Berdasarkan fungsi dan pemimpin sebenar, maka pemimpin mempunyai tanggungjawab yang amat berat. Walaupun kedudukan mereka tinggi tetapi dari sudut tanggungjawab mereka seolah-olah menjadi hamba kepada rakyat bukan rakyat menjadi hamba kepada mereka. Justeru sebarang tindakan mereka perlu mengutamakan kemaslahatan rakyat seiring dengan kaedah fiqh iaitu tasarruf al-imam ‘ala al-ra’iyyah manud bi al-maslahah (tindakan pemerintah terhadap rakyatnya hendaklah berdasarkan maslahah rakyat). Dalam hal ini seseorang pemimpin yang baik tidak meletakkan sebarang keuntungan terhadap jawatan yang diberikan kerana kepimpinannya diperlukan oleh rakyat sedangkan dia tidak memerlukan rakyat untuk menjana keuntungan diri
sendiri.

Kepimpinannya menjadi medan penghasilan pahala di sisi Allah sebagai keuntungan ukhrawi bukan duniawi sebagaimana hadis berikut yang bermaksud “Sesungguhnya seorang pemimpin itu adalah perisai, rakyat akan berperang di belakangnya serta berlindung dengannya. Apabila ia memerintahkan untuk bertaqwa kepada Allah ‘Azza wa Jalla serta bertindak adil, maka ia akan mendapat pahala. Namun jika ia memerintah dengan selain itu, maka ia akan memperolehi akibat buruk hasil dari perbuatannya”.

Kelayakan dan kualiti pemimpin dipagari dengan ketaqwaan

Kebiasaannya pemimpin dilihat dari sudut kepandaian bercakap dan berpidato sedangkan tidak semua pemimpin yang cemerlang itu dianugerahkan sebagai pandai berpidato. Kadang-kadang kepandaian berpidato digunakan oleh pemimpin yang mungkar untuk menarik sokongan rakyat kepada kepimpinannya. Ia bertepatan dengan hadis nabi s.a.w. iaitu inna min al-bayan lasihran (Sesungguhnya sebahagian dari susunan kata -kata-kata yang indah – itu adalah sihir. Demikian juga pemimpin juga sering dilihat kepada pencapaian akademik yang tinggi sedangkan bukan semua yang berpendidikan tinggi mampu memimpin dengan baik.

Bahkan ada yang kelihatan cerdik namun hakikatnya jahil kerana tertarik dengan tarikan dan godaan duniawi sebagaimana hadis Nabi Muhammad SAW iaitu wainna min al-ilm jahla (Sesungguhnya sebahagian dari pengetahuan itu adalah kejahilan). Justeru itu kelayakan akademik yang tinggi dan pengalaman dalam pelbagai tugas dan kerjaya tidak menjamin sebagai pemimpin yang berkualiti. Semua kelayakan tersebut perlu dipagari dengan sifat ketakwaan terhadap Allah SWT.

Kaedah pemilihan pemimpin

Jika dilihat kepada nas-nas al-Quran maka dapat disimpulkan bahawa kriteria kepimpinan itu dinilai berdasarkan empat perkara iaitu qawiy, amin, hafiz dan ‘alim (surah al-Qasas, ayat 26 dan surah Yusuf, ayat 55). Qawiy bermaksud kekuatan, keupayaan dan kemahiran yang diperlukan untuk melaksanakan tugas kepimpinan ataupun itu dikenali sebagai kompetensi. Amin bermaksud amanah, bertanggungjawab dan berakhlaq yang lebih dikenali sebagai integriti. Kebiasaannya dimiliki oleh individu yang mempunyai latar belakang agama yang baik. ‘Alim pula bermaksud ilmu serta kemahiran yang diperlukan sebagai nilai kompetensi. Manakala hafiz pula bermaksud berhati-hati dan sentiasa memelihara diri dari melakukan kesalahan. Ia berbeza dengan amanah kerana kadang kala pemimpin yang beramanah namun disebabkan tidak mempunyai sifat berhati-hati maka ia melakukan kesalahan yang tidak disedari dan disengajakan.

Merujuk kepada pemilihan pemimpin dalam PRU15 ini, jika calon yang dipilih mempunyai keempat-empat kategori tersebut maka ia telah menepati kepimpinan dalam Islam. Namun jika tidak menepati kesemuanya maka pilihlah yang paling menghampirinya ataupun yang paling kurang kerosakan ciri-ciri amanah (integriti). Ini kerana kekurangan ketiga-tiga yang lain itu boleh diperolehi melalui kawalan parti dan pengalaman sedangkan kerosakan integrit sukar diperbaiki apabila seseorang itu mempunyai kedudukan dan kuasa dalam kerajaan. Pemilihan ini adalah berdasarkan kaedah fiqh iaitu yukhtar ahwan al-syarrayn (pilih kerosakan yang paling ringan).

Seterusnya timbul isu apabila kriteria tersebut hanya dimiliki oleh individu bukannya parti atau gabungan parti yang bertanding, adakah perlu memilih individi dan abaikan parti. Dalam hal ini perlu difahami bahawa tujuan pru-15 adalah untuk memilih kerajaan yang benar-benar layak mengurus kemaslahatan negara dan bukannya pemimpin semata-mata. Jika pemilihan individu dilakukan tanpa melihat parti maka bilangan kerusi yang diperlukan bagi sesuatu blok untuk kelayakan menubuh sebuah kerajaan yang stabil tidak tercapai. Oleh demikian pemilihan yang tepat ialah berdasarkan individu yang mewakili parti bukannya individu semata-mata. Kriteria empat perkara yang dinyatakan sebelum ini boleh juga dinilai dalam parti. Ini kerana setiap parti mempunyai matlamat perjuangan masing-masing. Jika perjuangan parti tersebut lebih menepati keempat kriteria tersebut maka parti tersebut layak dipilih di dalam PRU-15 ini. Selamat mengundi.

Dr Ridzwan Ahmad
Jabatan Fiqh Dan Usul
Akademi Pengajian Islam
Universiti Malaya

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast