KUALA LUMPUR – Dunia bola sepak Sabah dikejutkan dengan pemergian bekas kapten pasukan, Ahman Omar Khan yang disahkan meninggal dunia hari ini.
Berita sedih itu dikongsikan menerusi laman Facebook rasmi Sabah FC dengan menyampaikan salam takziah kepada keluarga serta kenalan arwah.
Ahman pernah beraksi bersama skuad Sabah FC selama tiga musim iaitu pada 1984 hingga 1987, selain diberi kepercayaan untuk menggalas tanggungjawab sebagai kapten pasukan.
Sebelum ini, Ahman dilaporkan berada dalam keadaan tidak sihat sehingga menarik perhatian beberapa pihak termasuk Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA) yang tampil memberikan sumbangan kepadanya.
Dia pernah beraksi bersama barisan legenda Sabah FC seperti James Wong, Hassan Sani dan Peter Rajah ketika pasukan Borneo itu beraksi dalam liga semi-pro. – MalaysiaGazette