Gambar hiasan

KUANTAN- Pegawai Pengurus Pilihan Raya Parlimen Rompin Datuk Ahmad Nasim Mohd Sidek memaklumkan pengeluaran kertas undi bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) N41 Tioman ditangguhkan hari ini.

Ia susulan kematian calon Perikatan Nasional (PN) Md Yunus Ramli awal pagi tadi.

“Penangguhan hanya melibatkan DUN berkenaan sahaja manakala pemilihan bagi kawasan Parlimen Rompin akan dijalankan seperti biasa,” katanya semasa dihubungi di sini hari ini.

Beliau berkata kenyataan lanjut berhubung status DUN Tioman, yang terletak dalam Parlimen Rompin akan dikeluarkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Pengarah SPR Pahang Datuk Zamree Hamli pula berkata kenyataan rasmi akan dikeluarkan oleh SPR Putrajaya.

Md Yunus, 61, disahkan meninggal dunia di Hospital Rompin pada 3.30 pagi tadi.

Allahyarham daripada PAS yang juga Ketua PAS Cawangan Sungai Puteri dan Pengarah 2 Jawatankuasa Pilihan Raya Kecil DUN Tioman sebelum ini pernah bertanding di DUN sama pada pilihan raya umum 2018.

Pada Pilihan Raya Umum ke-15 DUN Tioman menyaksikan pertembungan lima penjuru antara Md Yunus, Sulaiman Bakar (Bebas), Osman A. Bakar (Pejuang), Mohd Fadzli Mohd Ramly (Pakatan Harapan) dan Datuk Seri Mohd Johari Hussain (Barisan Nasional).

— BERNAMA

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast