Nurul Aliatul Atiqah Azahri

ALOR GAJAH – Cuaca hujan tidak menghalang pengundi muda keluar seawal pagi untuk melaksanakan tanggungjawab kepada negara hari ini.

Bagi Muammar Robbani Mat Za, 18, dia memilih untuk keluar sebelum jam 8 pagi tadi kerana tidak mahu terlepas mengundi buat kali pertama jika cuaca semakin buruk.

“Alhamdulillah, proses undian begitu mudah walaupun hujan agak lebat subuh tadi sebab itu saya memilih untuk keluar awal pagi selepas hujan semakin reda walaupun masih renyai.

“Saya takut kalau hujan lebat nanti terlepas pula peluang mengundi kali pertama,” katanya ketika ditemui di Pusat Mengundi di Sekolah Kebangsaan Durian Tunggal di sini hari ini.

Muammar Robbani Mat Za,

Pandangan sama dikongsikan pelajar Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Skudai, Muhammad Haziq Md Azrin, 21, yang baharu tiba dari Johor menaiki bas malam tadi.

“Memang sejak semalam, saya tidak sabar untuk mengundi supaya tidak terlepas hak memilih pemimpin demi masa depan negara yang lebih baik,” katanya

Nurul Aliatul Atiqah Azahri, 19, turut berharap agar undi ‘sulungnya’ itu membawa tuah untuk memilih wakil rakyat yang benar-benar merasai denyut nadi penduduk di Parlimen Alor Gajah.

“Ini adalah undi sulung saya dan semua pengundi kali pertama yang lain jadi tentulah kami berharap pilihan ini membawa tuah agar dapat menyelesaikan masalah utama di daerah Alor Gajah ini,” katanya.

Pada PRU kali ini, Parlimen Alor Gajah bakal menyaksikan saingan empat penjuru antara calon Barisan Nasional (BN) Shahril Sufian Hamdan, penyandang kerusi berkenaan, Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof dari Perikatan Nasional (PN), Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Melaka, Adly Zahari dan Muhammad Nazriq Abdul Rahman (Pejuang- Berjasa).

Secara keseluruhannya, seramai 644,645 pengundi biasa layak mengundi hari ini di semua 217 pusat mengundi di enam Parlimen iaitu Masjid Tanah, Alor Gajah, Tangga Batu, Hang Tuah Jaya, Kota Melaka dan Jasin. – MalaysiaGazette.