KUALA LUMPUR – Seorang lelaki mempunyai masalah kesihatan mental membuat kecoh apabila bertindak merampas dakwat serta menolak peti undi sehingga terjatuh.
Kejadian itu berlaku di sebuah Pusat Daerah Mengundi di Ulu Yam, Parlimen Hulu Selangor pagi tadi.
Ketua Polis Negara Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, semakan lanjut oleh SPR dan polis mendapati lelaki berusia 27 tahun itu memiliki rekod sebagai pesakit mental.
Malah dalam satu lagi, kata Acryl, polis menerima laporan tiga kes membabitkan pengundi yang telah meninggal dunia ketika beratur untuk mengundi.
Katanya, kes kematian itu membabitkan satu kes di Kota Bahru di Kelantan dan dua kes di Johor.
Tambah Acryl lagi, beliau sempat melakukan tinjauan di empat pusat pembuangan undi di Sekolah Kebangsaan (SK) Desa Amanpuri, Damansara; SK Intan Baiduri, Kepong; SK Setapak Indah dan SK Sungai Kertas, Sri Gombak yang dikenalpasti kawasan jumlah pengundi tertinggi dan panas.
Katanya, beliau dimaklumkan oleh SPR (Suruhanjaya Pilihan Raya) hampir 46 peratus pengundi membuang undi sehingga pukul 12.45 tengah hari tadi.
Berdasarkan tinjauan yang dilakukan sejak pagi tadi di beberapa kawasan parlimen mengundi mendapati, pengundi berpusu-pusu keluar menunaikan tanggungjawab pada sebelah pagi menyebabkan keadaan beberapa pusat mengundi mengalami kesesakan.
“Bagaimanapun, saya dimaklumkan kesesakan di beberapa lokasi mula reda sejak 10.30 pagi tadi dan ada juga tempat pusat mengundi yang tidak ada lagi pengundi beratur di luar premis.
“Polis menjangkakan keadaan agak lengang di pusat mengundi menjelang petang ini memandangkan ramai pengundi sudah menunaikan tanggungjawab pada sebelah pagi,” ujarnya lagi.
Menurut beliau, meskipun keadaan sesak pada sebelah pagi, namun situasi di pusat mengundi sangat terkawal.
Diminta mengulas lanjut mengenai tahap kesiapsiagaan pihak polis menjelang proses penjumlahan undi dan pengumuman keputusan PRU15 pada malam ini, beliau menasihatkan semua pihak agar menerima menerima apa jua keputusan yang akan diumumkan oleh SPR kelak
“Apa jua keputusan PRU15 yang akan diumumkan malam ini, kita harap semua pihak menerima keputusan dengan lapang dada dan terbuka.
“Sebagai persediaan awal, kita pasti sudah bersedia untuk menangani apa juga situasi dan kemungkinan luar jangkaan semasa pengumuman keputusan PRU15 pada malam ini bagi memastikan keselamatan dan ketenteraman awam terus terkawal, terjamin,” tegasnya.- MalaysiaGazette