KUALA LUMPUR – Rakyat Malaysia yang layak mengundi menunaikan tanggungjawab bermula jam 8 pagi ini dalam pilihan raya umum ke-15 (PRU15) bagi menentukan parti atau gabungan yang diberikan mandat membentuk kerajaan baharu di peringkat persekutuan dan tiga negeri untuk lima tahun akan datang.
Seramai 20,853,681 daripada keseluruhan 21,173,638 pemilih berdaftar akan membuat pilihan masing-masing mulai 8 pagi hingga 6 petang di Semenanjung Malaysia dan 7.30 pagi hingga 5.30 petang bagi pengundi di Sabah, Sarawak dan Labuan.
Proses demokrasi Malaysia, yang berasaskan sistem “first past the post” itu, dimulakan menerusi pengundian awal pada Selasa lalu di 970 saluran di 578 pusat pengundian dengan 94.72% atau 212,961 pengundi dalam kalangan anggota keselamatan dan pasangan menunaikan tanggungjawab mereka.
Menyedari kepentingan hak mengundi dan bagi memudahkan urusan orang ramai menunaikan kewajipan sebagai pengundi, Putrajaya mengumumkan hari ini dan esok hari kelepasan am, manakala kerajaan Johor, Kelantan, Terengganu dan Kedah mengumumkan cuti gantian pada Ahad.
Tanpa mengetepikan aspek keselamatan dan kesihatan ramai, individu positif Covid-19 wajib memakai pelitup muka, tidak dibenarkan menaiki kenderaan awam, mematuhi penjarakan fizikal selamat serta pulang segera selepas mengundi.
Sebagaimana ditegaskan Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah, pemakaian pelitup muka bagi pengundi lain amat digalakkan, selain menggunakan pensanitasi tangan bagi mengurangkan risiko penularan jangkitan.
Dalam keadaan negara kini berdepan musim tengkujuh (Monsun Timur Laut), Jabatan Meteorologi (METMalaysia) meramalkan ribut petir di tujuh negeri membabitkan Johor, Kedah, Melaka, Negeri Sembilan, Perlis, Pulau Pinang dan Selangor, manakala hujan di Kelantan, Perak, Sabah, Terengganu dan Labuan pada sebelah pagi.
Cuaca baik diramalkan di Pahang, Sarawak, Kuala Lumpur dan Putrajaya pada sebelah pagi.
Bagi menghadapi sebarang kemungkinan susulan banjir di beberapa negeri, Perdana Menteri sementara, Ismail Sabri Yaakob semalam berkata, kerajaan mengaktifkan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Kebangsaan bagi membantu mangsa dan menyelaraskan gerak kerja operasi di kawasan serta negeri terlibat banjir.
Parlimen dibubarkan 10 Okt lepas bagi memberi laluan PRU15, tiga hari selepas Bajet 2023 dibentangkan di Parlimen.
PRU15 melibatkan 222 kerusi Parlimen dan 116 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Perak (59), Pahang (42) dan Perlis (15). Pilihan Raya Kecil DUN Bugaya diadakan serentak dengan PRU15, selepas tertangguh ekoran proklamasi darurat bagi mencegah penularan Covid-19.
Bagaimanapun, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 7 Dis ini sebagai hari mengundi bagi Parlimen Padang Serai, susulan kematian calon Pakatan Harapan (PH) yang juga bekas penyandang kerusi itu, M Karupaiya Rabu lalu.
Dengan 1,380 calon bertanding, iaitu 939 (kerusi Parlimen), 434 (kerusi DUN Perlis, Perak dan Pahang) dan tujuh calon bagi PRK DUN Bugaya, PRU15 diamati paling sengit dalam sejarah demokrasi negara serta menjadi medan pertempuran parti politik dan rakan sekutu yang membentuk gabungan.
PRU15 menyaksikan Barisan Nasional (BN), PH, Perikatan Nasional (PN), Gerakan Tanah Air (GTA), Gabungan Parti Sarawak (GPS), Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan parti lain mengharapkan sokongan kira-kira 1.4 juta pengundi muda berusia 18 hingga 20 tahun yang julung kali layak menentukan kepimpinan negara.
Tidak kurang pentingnya, Akta Perlembagaan (Pindaan) (No 3) 2022 mengenai peruntukan Larangan Ahli Parlimen Bertukar Parti yang dikuatkuasakan 5 Okt lepas.
Kempen PRU15 selama 14 hari yang bermula pada hari pencalonan 5 Nov lepas, diwarnai pelbagai ceramah, perang poster parti politik, pendekatan konvensional bertemu pengundi, selain penggunaan platform media sosial bagi meraih sokongan sehingga 11.59 malam ini.
Memberi jaminan keselamatan pada hari pengundian, Ketua Polis Negara, Acryl Sani Abdullah Sani berkata, polis memberi komitmen tinggi dalam memastikan ketenteraman awam dan keselamatan negara terjamin.
Beliau menasihati orang ramai tidak terpedaya dengan sebarang berita palsu bagi membangkitkan kegelisahan dan rasa takut sehingga mencetuskan spekulasi negatif.
Apa yang pasti, PRU15 bukan sekadar pelengkap proses demokrasi, sebaliknya menjadi platform penting dalam memilih kerajaan stabil serta mampu mengemudi negara, termasuk mengharungi pelbagai cabaran seiring unjuran ketidaktentuan ekonomi global pada tahun depan.
Tidak harus dilihat sebagai peluang menunaikan hak mengundi semata-mata, setiap pengundi pada PRU15 menggalas tanggungjawab besar dalam membuat pilihan tepat demi memastikan kelangsungan hala tuju, kejayaan serta kemakmuran negara.
— BERNAMA