Pengundi muda, Iman Nurasyiqin Rosaimi (kanan) dan Iman Nuraina (kiri) menunjukkan jari yang berdakwat selepas selesai mengundi buat pertama kali pada hari pengundian sempena Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) di di SMK Bandar Kerayong, Bandar Bera, Pahang. Foto HAZROL ZAINAL, 19 NOVEMBER 2022.

BERA – “Seminggu juga fikir nak undi apa? Macam saya, sampai tak boleh tidur.”

Itu luahan Iman Nuraina Rosaimi, 22 ketika ditemui di SMK Bandar Kerayong di sini hari ini.

Beliau dan adiknya Iman Nurasyiqin Rosaimi, 18, masing-masing mengundi buat pertama kali pada Pilihan Raya Umum ke-15.

Selain teruja, dua beradik itu mengakui berdebar untuk memangkah nama calon bagi kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) apatah lagi mereka jarang pulang ke Bera kerana belajar di Shah Alam.

“Tapi kita tahu majoritinya (penyokong) ke arah mana.

“Kita tak bawak ideologi dari Shah Alam balik ke Bera. Kita kaji dahulu. Kalau di DUN (Dewan Undangan Negeri) konsepnya lain. Untuk Parlimen konsepnya lain. Jadi kita kena buat pilihan yang betul,” kata Iman Nuraina.

Sebagai pengundi muda, dua beradik berkenaan mengakui telah berfikir semasak-masaknya untuk kebaikan kampung halaman mereka terutama bagi pertumbuhan ekonomi dan pembangunan di Bera.

“Kita juga kena tengok majoritinya dan track record. Jadi tak boleh kalau kita gemar, contohnya parti ‘A’ di DUN itu dan kita pilih parti ‘A’ di Parlimen juga kalau calonnya tiada majoriti (penyokong),” tambah Iman Nuraina lagi.

Namun, yang pasti, mereka lega setelah menunaikan tanggungjawab mereka sebagai rakyat Malaysia untuk memilih kerajaan memerintah.

“Kita tak boleh tidur sebab kita memikir kalau kita salah undi, jari ini nanti akan dipersoalkan.. Itu yang sampai tak boleh tidur.. sekarang sudah lega,” luahnya.

Sementara itu, Mohamad Ezam Aznan Mamat, 22, ketika ditemui ceria setelah selesai mengundi calon pilihannya di saluran tujuh di sekolah yang sama.

“Yakin sahajalah. Saya sudah bersedia daripada rumah. Banyak membaca tentang proses pengundian,” katanya.

Para pengundi muda, Mohamad Ezam Aznan Mamat menunjukkan jari yang berdakwat selepas selesai mengundi buat pertama kali pada hari pengundian sempena Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) di di SMK Bandar Kerayong, Bandar Bera, Pahang. Foto HAZROL ZAINAL, 19 NOVEMBER 2022.

Walau pihak mana pun yang akan menang nanti, beliau berharap agar mereka menjalankan tugas demi rakyat.

“Saya harap yang menang itu jalankan tugas sebaik mungkin untuk kami sebagai pelajar dan rakyat secara keseluruhan,” katanya sambil menunjukkan jari yang telah dicelup dakwat biru kekal.

Pada PRU15 kali ini, Suruhanjaya Pilihan Raya memaklumkan terdapat seramai 20,299 pemilih berdaftar berusia 18 tahun sehingga 29 tahun yang layak mengundi di Bera daripada keseluruhan 77,669 pengundi keseluruhan. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Undi orang muda penentu kemenangan di Pahang

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast