Perdana Menteri yang juga calon Barisan Nasional P.090 Bera, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berucap pada Program Ramah Mesra bersama Penduduk Kampung Mengkarak Station sempena kempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) di Bera, Pahang. Foto HAZROL ZAINAL, 16 NOVEMBER 2022.- Gambar hiasan.

KEMPEN seperti ceramah mega sempena Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) di Pahang hampir tiada.

Kalau ada pun, satu ceramah Pakatan Harapan (PH) di Kuantan melibatkan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Satu lagi, kehadiran Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang dan timbalannya, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man semasa pelancaran Manifesto Perikatan Nasional (PN) Pahang di Jerantut.

Rata-ratanya sepanjang dua minggu berkempen, ceramah santai di kedai makan, lawatan ke penempatan komuniti, lawatan rumah ke rumah atau sekadar hit and run sahaja.

Perlawanan sebenar dalam PRU15 adalah antara BN, PH dan Perikatan Nasional (PN).

Itu pun kerana di dalam PN ada Pas -parti yang ada akar umbi berbanding Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Kehadiran Gabungan Tanah Air (GTA) atau Pejuang hanya dilihat memanaskan bangku simpanan di Pahang.

Timbalan Pengerusi GTA, Aminuddin Yahaya yang bertanding di Parlimen Temerloh memang dikenali dengan perjuangan NGO namun bukan semua pengikutnya mampu menterjemahkannya atas kertas undi.

Bagaimanapun dalam kempen diam-diam itu, beberapa lokasi berdepan saingan sengit termasuk Parlimen Temerloh, Maran, Bentong dan Jerantut.

Kemunculan Hasbie Muda (PH), Young Syefura Othman (PH), Datuk Seri Ismail Muttalib (BN beralih ke PN) dan Khairil Nizam Khirudin (PN) menjadi fenomena sebagai lawan BN.

Bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pula, pencalonan Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man juga jadi perhatian.

Lebih-lebih lagi beliau dikaitkan sebagai umpan utama dengan disebut-sebut sebagai Menteri Besar Pahang mewakili PN.

PN juga baru-baru ini mengeluarkan kenyataan mereka hampir pasti merampas Pahang.

Bagaimanapun pengisytiharan PN dianggap sekadar perang psikologi bagi meraih undi kempen saat akhir.

Bagi BN, ramai melihat gabungan parti itu masih mendominasi Pahang kali ini.

Rekod pemerintahan Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan kemampuannya mengekalkan pemerintahan selepas PRU14 dilihat bukti bukan janji.

Bagi Parlimen Bera, kemenangan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri dalam tangan.

Namun sebagai poster boy, Ismail Sabri perlu mendapat majoriti lebih berbanding PRU14 bagi menobatkan keyakinan meneruskan teraju negara.

Bagi DUN Triang di Bera, ia memang sukar ditembus namun sekurang-kurangnya mendapat undi lebih tinggi berbanding PRU14.

Satu lagi, sokongan pengundi baharu juga dilihat sebagai penentu kemenangan kepada parti bertanding.

Jejak mereka belum ada rekod sehingga sukar dikesan trend dan sudah pasti ada kemenangan tidak disangka atas kuasa mereka pada PRU15.

Fenomena itu bukan sahaja di Pahang malah di seluruh negara.

Moga-moga parti mana yang menang kelak akan membawa kestabilan kepada rakyat dan bukan lagi bertukar kepimpinan negara banyak kali dalam satu penggal.- MalaysiaGazette