JERANTUT – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tahan, Mohd Zakhwan Ahmad Badarddin berjanji akan melaksanakan amanah sebaik mungkin.
Beliau yang mewakili Perikatan Nasional (PN) berharap pengundi menegur sekiranya dirinya ada melakukan kesilapan.
Malah belum sampai 24 jam diumumkan kemenangan dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), Mohd Zakhwan menghadiri program minum teh memenuhi undangan para pengundinya di Kuala Tembeling.
Selain itu beliau juga memenuhi undangan kenduri kahwin di Kampung Paya Teh, Kampung Lata Kasah dan Kampung Jerantut Feri dekat sini hari ini.
“Sekalung penghargaan dan tahniah buat semua ahli dan pimpinan Pas di semua peringkat, petugas parti, pendokong dan penyokong telah melakukan tugas yang terbaik untuk menentukan kemenangan di Parlimen Jerantut dan tiga DUN ke tangan PN.
“Ini termasuklah rakan-rakan komponen PN yang terdiri daripada Parti Bersatu dan Parti Gerakan yang telah bekerja bersungguh-sungguh dan komited sehingga dikurniakan oleh Allah dengan kemenangan ini,” katanya ketika ditemui.
Katanya, kepercayaan diberi oleh pengundi di dalam DUN Tahan untuk mewakili mereka bagi penggal kedua dianggap satu tanggungjawab.
“Bagi saya kemenangan ini satu amanah bukannya satu kebanggaan, jutaan terima kasih saya ucapkan di atas kepercayaan ini.
“Insya Allah, saya akan laksanakan amanah ini dengan sebaik mungkin maka bantulah, sekiranya saya melakukan kesilapan, maka betulkanlah, kebenaran adalah satu amanah dan dusta itu adalah satu pengkhinatan,” katanya.- MalaysiaGazette