KUANTAN – Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) pada kali ini menyaksikan Barisan Nasional (BN) Pahang kehilangan tujuh kerusi Parlimen kepada Perikatan Nasional (PN).
Ia termasuk empat kerusi Parlimen milik BN pada PRU14 iaitu Jerantut, Maran, Kuala Krau, dan Rompin.
Tiga lagi adalah Parlimen Indera Mahkota, Kuantan dan Temerloh.
Manakala Pakatan Harapan (PH) pula mengekalkan kerusi di Parlimen Raub dan Bentong.
Lima kerusi Parlimen kekal bersama BN ialah Cameron Highlands, Paya Besar, Bera, Pekan dan Lipis.
Penyandang kerusi Parlimen Paya Besar, Datuk Shahar Abdullah berjaya mengekalkan penguasaan BN nanakala Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob juga kekal menang di Parlimen Bera dengan meraih majoriti 16,695 undi.
BN turut mempertahankan Parlimen Pekan dengan kemenangan Datuk Seri Sheikh Puzi Sheikh Ali yang menggantikan Datuk Seri Najib Razak.
Sementara itu, kerusi Parlimen Kuantan yang dahulunya milik PH sejak tahun 2008 kini menjadi milik PN. – MalaysiaGazette