Pengerusi Penaja Gerakan Tanah Air (GTA), Tun Dr. Mahathir Mohamad

KUALA LUMPUR- Seramai 369 calon kerusi Parlimen hilang deposit selepas memperoleh undi kurang satu per lapan daripada jumlah keseluruhan undi yang dikira dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Antara nama besar yang ‘terkorban’ adalah Tun Dr. Mahathir Mohamad yang bertanding atas tiket Pejuang.

Pengerusi Penaja Gerakan Tanah Air (GTA) itu hanya mendapat 4,566 undi daripada keseluruhan 48,123 undi dalam persaingan lima penjuru.

Selain Dr Mahathir, antara pemimpin kanan PEJUANG turut hilang wang pertaruhan adalah anak beliau, Datuk Seri Mukhriz Mahathir yang gagal mempertahankan kerusi Parlimen Jerlun dan Timbalan Pengerusi GTA Datuk Marzuki Yahya yang tewas di Sungai Petani.

Nama besar lain yang turut hilang wang deposit adalah bekas Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Zuraida Kamaruddin dan bekas Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Zahidi Zainul Abidin.

Selain itu, calon selebriti dan aktivis sosial juga antara yang hilang wang pertaruhan seperti pengarah filem Ahmad Idham Ahmad Nadzri yang bertanding di Parlimen Port Dickson mewakili GTA dan calon Bebas Abdul Rani Kulup Abdullah.

Jumlah calon paling banyak kehilangan wang deposit dalam satu kawasan Parlimen adalah kerusi tumpuan di Parlimen Batu apabila lapan daripada 10 calon bertanding hilang wang pertaruhan.

Mereka adalah calon Bebas Siti Zabedah Kasim, Nur Fathiah Syazwana Shaharuddin atau juga dikenali Cleopatra, Chua Tian Chang (Tian Chua), Too Cheng Huat; Wan Azliana Wan Adnan (Pejuang), Naganathan Pillai (Warisan), Mohd Zulkifli Abdul Fattah (Parti Rakyat Malaysia) dan Datuk A. Kohilan Pillay (Barisan Nasional).

PRU kali ini juga menyaksikan calon PH Gobind Singh Deo memperoleh jumlah undi tertinggi 142,875 untuk kerusi Parlimen Damansara mengalahkan dua pencabar yang kesemuanya kehilangan wang pertaruhan.

Bagi membolehkan mereka bertanding, calon perlu mempertaruhkan wang deposit sebanyak RM10,000 bagi kerusi Parlimen dan RM5,000 bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN). – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

  1. Syukurlah sekeluarga toxic ni telah dinyahkah dari pentas politik tempatan. Kemenangan dahulu pun hanyalah menunggang/menumang parti2 politik sedia ada, orang yg bijak menunggang org lain ini akhirnya KECUNDANG juga, salam takziah!!!

Comments are closed.