Gambar hiasan

KUANTAN – Buat pertama kalinya Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang tergantung kerana gagal memperoleh majoriti mudah untuk membentuk kerajaan negeri.

Keputusan rasmi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) semalam menyaksikan Perikatan Nasional (PN) memperoleh 17 kerusi, Barisan Nasional (BN) pula 16 kerusi manakala Pakatan Harapan (PH) mendapat lapan kerusi.

Sementara satu lagi kerusi di DUN 0.42 Tioman pula diketahui keputusannnya menerusi Pilihan Raya Kecil (PRK) Tioman yang dijadualkan pada 7 Disember nanti seperti yang diputuskan oleh Suruhajaya Pilihanraya (SPR).

Ini berikutan calon PN, Mohd Yunos Ramli wakili PAS meninggal dunia pada 3.30 pagi semalam akibat komplikasi jantung, hanya kurang daripada lima jam PRU15 bermula.

Bagi membentuk kerajaan negeri, mana-mana parti parti perlu memperoleh sekurang-kurangnya 21 kerusi DUN.

Persoalannya mungkinkah sejarah tercipta apabila Pahang akan  mewujudkan kerajaan negeri campuran antara BN dan PH?

Atau BN lebih selesa bergandingan dengan PN? Tetapi lebih menjadi tanda tanya jika terbentuknya kerajaan campuran antara PN dan PH.

Jika ia berlaku pastinya mencetus fenomena baharu memandangkan BN di Pahang akan terkubur sedangkan negeri ini dan Perlis antara negeri yang bertahan pada PRU 14 selepas tumbang kepada Pakatan harapan (PH) pada tahun 2018 lalu.

Semua kemungkinan boleh berlaku selagi belum mendapat keputusan mutlak dan rundingan sewajarnya.

Yang nyata kemungkinan Pahang senasib dengan Negeri Perak yang akan membentuk kerajaan campuran itu semakin terserlah.

Ini kerana  situasi di Perak mengenai pembentukan kerajaan negeri juga berdasarkan keputusan PRU15 di mana Perikatan Nasional memilik 26 kerusi, Pakatan Harapan (24) dan Barisan Nasional (9) .

Mengikut keputusan PRU15, Perikatan Nasional (PN) menembusi tujuh daripada 14 kerusi parlimen dan juga 17 kerusi DUN daripada 42 keseluruhan DUN di negeri ini.

Pertembungan sengit di kubu kuat BN di Parlimen di Maran, Temerloh, Rompin, Kuala Krau telah menyaksikan kini telah bertukar tangan kepada PN.

Begitu juga dengan kerusi DUN di negeri ini yang memperlihat BN hilang sembilan kerusi DUN dalam sekelip mata daripada 25 kerusi ketika penggal lalu.

Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man (PN) menang di DUN Cheka dengan memperoleh 5,634 undi mengalahkan tiga lawan selain berjaya mengekalkan kedudukan di kerusi Parlimen Kubang Kerian, Kelantan.

Timbalan Presiden Pas yang merupakan anak kelahiran jati negeri ini juga pertama kali bertanding di sini memenangi kerusi DUN Cheka dengan majoriti 1,223 undi.

Nama yang disebut-sebut bakal menjadi  MB pahang itu menewaskan calon Barisan Nasional (BN) yang juga Pengerusi MCA Lipis, Ho Fong Mee memperoleh 4,411 undi, Rashid Mohamad dari Pakatan Harapan (2,255) dan Aishaton Abu Bakar dari Pejuang (81).

BN juga terpaksa akur apabila hilang kerusi di Lepar, Sungai Lembing, Kuala Sentul, Chenor, Pulau Manis, Lanchang, Panching dan Kuala Semantan, dan Bukit Ibam.

Calon PN, Salamiah Mohd Nor berjaya menewaskan Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin dengan selepas memperolehi 30,929 undi dengan majoriti 5,520 undi sekali gus melenyapkan kubu BN di Temerloh.

Selain itu, penyandang BN di Parlimen Rompin, Datuk Seri Hasan Ariffin akur tewas apabila Calon PN, Datuk Abdul Khalib Abdullah menang dengan 30,151 undi dan mendapat majoriti 1,438 undi.

Senasib dengan Parlimen Maran, Datuk Seri Shahaniza Shamsuddin daripada BN ditewaskan penyandang kerusi tersebut, Datuk Seri Ismail Mutalib yang berjaya mengekalkan kemenangan selepas memperolehi sebanyak 19,600 undi dengan majoriti 1,821 undi atas tiket PN kali ini.

PH mengekalkan rekod pencapaian apabila berjaya mempertahankan kubu kuat mereka di Parlimen Bentong selepas Young Syefura  menewaskan Tan Sri Liow Tiong Lai dan dua lagi pesaing dengan majoriti 692 undi.

Namun demikian, BN masih mampu mempertahankan kubu kuat di Pekan apabila Datuk Seri Sh Mohmed Puzi Sh Ali berjaya memperolehi 47,418 undi dengan majoriti 8,949.

Begitu juga dengan penyandang kerusi Parlimen Bera apabila Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berjaya mengekalkan kerusi Parlimen Bera dengan majoriti undi selesa iaitu sebanyak 16,695 pada PRU15.

Tidak dinafikan kekuatan di Jelai apabila kemenangan penyandang kerusi DUN N.02 Jelai, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail meraih 10,092 undi dengan mejoriti 6,983 mejadikan beliau menyandang kerusi itu pada penggal kelima.

Manakala anak sulung Datuk Seri Najib Tun Razak, Datuk Mohamad Nizar Mohd Najib berjaya mengikut jejak langkah ayahnya menang 19,337 undi di DUN Peramu Jaya meskipun bertanding buat kali pertama.

Walau apapun statusnya, rakyat masih menantikan keputusan daripada Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail setelah mencapai ijmak persepakatan daripada hasil perbincangan dengan pihak terbabit.- MalaysiaGazette

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast