KUANTAN – Ketua Angkatan Muda Pakatan Harapan (PH) Pahang, Young Syefura Othman yang memenangi kerusi Parlimen Bentong mengucapkan terima kasih kepada para pengundinya hari ini.
Beliau yang lebih mesra dikenali Rara berkata, kemenangannya bukan mudah dan mengakui majoriti yang diperoleh dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) adalah rendah.
“Alhamdulillah, bersyukur saya ke hadrat Ilahi kerana telah mengurniakan saya kejayaan ini. Terima kasih kepada semua warga Bentong yang telah memberikan kepercayaan kepada saya untuk menggalas tugas sebagai ahli Parlimen anda.
“Meskipun majoriti yang diperoleh adalah rendah. Namun inilah yang akan menjadi pembakar semangat saya untuk bekerja keras untuk memperoleh kepercayaan dari warga Bentong.
“Saya kini adalah wakil rakyat kepada semua warga Bentong – tidak kira agama, bangsa mahu pun pegangan politik. Saya akan menjalankan tugas saya sebaik mungkin agar matlamat dan visi saya untuk Bentong akan tercapai. Saya adalah suara kepada anda semua di Dewan Rakyat,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada semua sukarelawan yang telah membantu saya sepanjang kempen ini.
“Kini sudah tiba masa untuk saya bekerja untuk Bentong yang kita sayangi ini. Saya mohon kerjasama dari semua pihak agar kita sama-sama dapat memajukan Bentong.
“InsyaAllah, amanat ini akan saya pikul dan laksana dengan sebaik mungkin,” kataya.
Keputusan rasmi semalam menyebelahi Rara yang memperoleh sebanyak 20, 882 undi dan diikuti bekas Presiden MCA, Tan Sri Liow Tiong Lai sebanyak 19,502 undi.
Calon Perikatan Nasional (PN), Datuk Roslan Hassan pula hanya meraih 12,366 manakala penyandang Parlimen Bentong, Wong Tack yang bertanding atas tiket bebas sekadar meraih 458 undi manakala calon bebas, Achik Khalil pula hanya mendapat 66 undi.
Sementara itu, Tiong Lai menerima keputusan pengundi Bentong dengan hati yang tenang dan mengucapkan tahniah atas kemenangan Rara.
“Saya tidak menyesal keputusan untuk bertanding kerana matlamat saya jelas dan konsisten sepanjang karier politik saya, iaitu berjuang demi pembangunan dan kemajuan Bentong tercinta,” katanya dalam satu kenyataan.- MalaysiaGazette