Datuk Dr. Baba Md Deni 

MELAKA – Keputusan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) yang membawa kemenangan besar kepada Perikatan Nasional (PN) dilihat menjadi titik mula perpaduan ummah dalam landskap politik negara pada masa hadapan.

Timbalan Ketua Penerangan Perikatan Nasional (PN) Melaka, Datuk Dr. Baba Md Deni berkata, suara rakyat yang meletakkan PN menguasai 73 kerusi Parlimen di seluruh negara termasuk tiga daripada enam Parlimen di Melaka jelas menggambarkan kehendak rakyat.

Menurutnya, ia juga terbukti apabila gerak kerja jentera PN membantu calon Pas sebagai rakan sekutu dalam PN berjaya menyumbang 49 kerusi, angka parti terbesar ke Dewan Rakyat selepas pembentukan kerajaan kelak.

“Di Melaka khususnya, hasil gerak kerja tersusun pasukan penerangan dalam kempen PRU membawa kejayaan apabila kedua-dua calon PN daripada Pas berjaya menyapu Parlimen Tangga Batu dan Jasin yang sebelum ini masing-masing disandang Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN).

“Inilah bukti rakyat mahukan perubahan dan keputusan PRU15 jelas menjadi titik mula kepada perpaduan ummah apabila rakyat memilih gabungan berteraskan parti politik Melayu untuk memimpin negara,” katanya ketika di temui di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Dr. Baba yang juga Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Melaka juga berpandangan, imej perpaduan ummah hanya dapat diperkukuhkan sekiranya PN tidak bekerjasama dengan DAP untuk ke Putrajaya.

“Sebab itu saya melihat, perpaduan ummah mampu dilaksanakan sekiranya kita bergabung dengan BN, Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) membolehkan kita membentuk kerajaan campuran.

“Campuran ini menjadikan kita mempunyai 131 kerusi Parlimen yang lebih selesa dan stabil kerana ada wakil dari Semenanjung dan Borneo dengan syarat BN kena akur terhadap apa juga syarat ditetapkan PN,” katanya.

Tambahnya, PN di bawah pimpinan Tan Sri Muhyiddn Yassin sebagai bakal Perdana Menteri Ke-10 juga lebih diyakini rakyat khususnya pengundi muda untuk menolak pemimpin terpalit kes rasuah dan mahkamah untuk membentuk Kabinet. – MalaysiaGazette