Hasni Mohammad

JOHOR BAHRU – Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor Datuk Hasni Mohammad berkata, keputusan Pilihan Raya Umum ke-15(PRU-15) jelas dan merupakan penzahiran kepada kematangan rakyat dalam mendakap budaya demokrasi di Malaysia.

Sehubungan itu, UMNO Johor menerima dan menghormati keputusan rakyat di dalam PRU ke-15 baru-baru ini.

“Keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 juga merupakan isyarat jelas rakyat kepada UMNO dan Barisan Nasional. Oleh yang demikian, UMNO Johor percaya bahawa Presiden UMNO Malaysia akan mengambil tanggungjawab yang jelas dan berprinsip demi kelangsungan parti dan orang Melayu amnya.

“Justeru, pemilihan UMNO yang bakal diadakan tidak lama lagi perlulah berlangsung berdasarkan kerangka pemulihan UMNO. Keyakinan pengundi kepada parti ini perlu segera dipulihkan agar UMNO kembali diyakini semua rakyat Malaysia,” katanya menerusi kenyataan media hari ini.

Jelas beliau, buat masa sekarang, keutamaan parti-parti politik di Malaysia adalah untuk membentuk sebuah koalisi politik yang stabil dan kerajaan yang berfungsi serta moderat untuk memimpin Malaysia mendepani cabaran-cabaran sosial dan ekonomi masa hadapan.

“Oleh yang demikian, UMNO Johor berpendirian koalisi politik yang dibentuk tidak perlu melibatkan parti DAP.

“UMNO Johor juga ingin berterima kasih kepada jentera-jentera UMNO dan Barisan Nasional yangkonsisten dan komited bekerja untuk memenangkan calon-calon Barisan Nasional di Johor dalam tempoh kempen PRU ke-15.

“Melangkah ke hadapan, UMNO dan Barisan Nasional Johor akan terus diperkukuhkan. Oleh itu,keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 di Johor akan diteliti secara mendalam agar penambahbaikan dapat segera dilakukan,”katanya. -MalaysiaGazette