KUALA LUMPUR – Pemimpin Perikatan Nasional (PN) mula berkumpul di rumah Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin di Bukit Damansara, di sini, pagi ini.
Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang dilihat memasuki kawasan kediaman Muhyiddin pada jam 9.50 diikuti Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainudin pada jam 10 pagi.
Kira-kira 15 minit kemudian kenderaan Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu memasuki kawasan kediaman bekas Perdana menteri itu.
Beliau bagaimanapun tidak memberi ulasan kepada media.

Semalam, Hamzah menerusi kenyataan berkata, PN sudah mengemukakan Surat Akuan Berkanun daripada Ahli Dewan Rakyat yang memberikan kepercayaan kepada Muhyiddin untuk dilantik sebagai Perdana Menteri Ke-10.
Semalam, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan melanjutkan tempoh sehingga jam 2 petang ini kepada parti politik untuk berunding mengenai pembentukan kerajaan Persekutuan berikatan tiada parti yang mendapat majoriti mudah pada Pilihan Raya Umum ke-15. – MalaysiaGazette