KAJANG — Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim yang meninggalkan kediamannya di Bandar Sungai Long, Kajang pada pagi ini berkata, beliau akan ke pejabat untuk bekerja.
“Pergi kerja, pejabat, selepas itu balik rumah,” kata beliau yang juga Presiden PKR sambil tersenyum.
Apabila ditanya sama ada beliau akan ke Istana Negara bagi menghadap Yang Di-Pertuan Agong (YDPA) hari ini, Anwar hanya mendiamkan diri.
Sejak jam 7 pagi sehingga Anwar meninggalkan kediaman pada jam 11 pagi, tiada kelibat barisan pemimpin PH dilihat berkumpul di kediamannya.
Terdapat desas-desus yang mengatakan Anwar menuju ke Hotel Seri Pacific di Kuala Lumpur untuk bertemu barisan kepimpinan Barisan Nasional (BN). -MalaysiaGazette