Mangsa, Koperal Kamarul Arif Mat Noor, 32, disahkan meninggal dunia di lKilometer 217.1, Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS), arah selatan akibat kecederaan pada kepala dan kaki selepas motosikal ditunggangi merempuh belakang lori muatan perabot.

ALOR GAJAH – Kasih seorang ayah yang dalam perjalanan pulang sejauh 150 kilometer demi mahu melihat keadaan anaknya yang demam berakhir tragedi apabila maut dalam nahas dengan sebuah lori di sini awal pagi tadi.

Mangsa, Koperal Kamarul Arif Mat Noor, 32, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian di Kilometer 217.1, Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS), arah selatan akibat kecederaan pada kepala dan kaki selepas motosikal ditunggangi merempuh belakang lori muatan perabot itu.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Seperintendan Arshad Abu berkata, dalam kejadian kira-kira jam 1.30 pagi, mangsa baru selesai bertugas di Balai Polis Putra Heights, Subang Jaya, Selangor.

“Difahamkan, mangsa tamat tugas pada jam 12 tengah malam dan segera bergegas pulang ke Kampung Musai, Bukit Baru, Melaka selepas dimaklumkan anaknya demam.

“Mengikut keterangan saksi kejadian, kemalangan berlaku apabila lori yang dipandu di lorong tengah mengubah laluan ke lorong paling kiri menyebabkan mangsa yang menunggang motosikal Honda RS150R yang berada di lorong paling kiri cuba mengelak ke kanan.

“Bagaimanapun, mangsa terlanggar bahagian kanan belakang lori menyebabkan mangsa yang berasal dari Kota Tinggi, Johor maut di tempat kejadian,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Tambahnya, mayat mangsa diserahkan kepada Hospital Alor Gajah untuk proses bedah siasat manakala kenderaan terbabit akan dihantar ke Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM) untuk pemeriksaan.

“Pemandu lori dan kelindan berusia 42 dan 36 tahun itu bagaimanapun tidak mengalami kecederaan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. – MalaysiaGazette.