Pengerusi Barisan Nasional, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi hadir bagi menghadap Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ketika di Istana Negara, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 23 NOVEMBER 2022.

KUALA LUMPUR – Pengerusi Barisan Nasional Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi meminta rakyat berdoa agar segala urusan yang berkaitan dengan kemelut politik dipermudahkan.

Beliau berkata demikian selepas menghadap Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara hari ini.

“Menjunjung titah DYMM Tuanku untuk ke Istana Negara pagi ini.
Doakan semoga segalanya dipermudahkan,” kata Presiden UMNO itu ringkas di Facebook.

Selain Ahmad Zahid turut menghadap Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir.

Ketiga-tiga pimpinan itu tiba secara berasingan sekitar jam 10.40 pagi tadi.

Semalam, Yang di-Pertuan Agong menitahkan semua 30 ahli Parlimen BN untuk menghadap baginda hari ini.

Titah tersebut susulan selepas Al-Sultan Abdullah bertemu Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin petang semalam.-MalaysiaGazette