Pengerusi PFP, Datuk Ooi Kar Giap (kiri,atas) bersama tiga individu termasuk seorang wanita dibenarkan ikat jamin RM362,000 atas 30 pertuduhan ATIPSOM di Mahkamah Sesyen Butterworth, Pulau Pinang hari ini.

SEBERANG PERAI –  Pengerusi parti politik, Penang Front Party (PFP) dan seorang wanita mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Butterworth hari ini atas 10 pertuduhan memperdagangkan manusia bagi tujuan eksploitasi kerja.

Tertuduh, Datuk Ooi Kar Giap, 55, serta Chye Lay Hoon, 52, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Noor Aini Yusof selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan dalam Bahasa Mandarin oleh jurubahasa mahkamah.

Mengikut pertuduhan, pengarah syarikat dan pengurus sumber manusia itu didakwa mencapai niat bersama memperdagangkan 10 individu tempatan di sebuah premis di Taman Tangling Indah, Simpang Ampat dalam Daerah Seberang Perai Selatan.

Datuk Kar Giap (kiri) dan Yong Choon mengaku tidak bersalah atas semua pertuduhan.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu daripada 14 Februari hingga 27 Oktober lalu.

Mereka dituduh mengikut Seksyen 12 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM) dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara hingga 15 tahun dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Turut didakwa di mahkamah sama, dua pekerja kepada pengarah syarikat itu iaitu Lim Yong Choon, 47, dan Woong Chew Hoe, 40, yang mengaku tidak bersalah atas 20 pertuduhan bersubahat bersama dua individu berkenaan dengan memperdagangkan manusia bagi tujuan eksploitasi kerja di lokasi dan tarikh sama.

Kedua-dua lelaki itu dituduh mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 12 ATIPSOM yang memperuntukkan hukuman penjara hingga 15 tahun dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohammad Syafiq Nasrullah Saleem Ali manakala kesemua tertuduh diwakili peguam Teh Yi Kai dan Pang Chuin Keat.

Chew Hoe didakwa atas 10 pertuduhan bersubahat dengan Pengerusi PFP.

Noor Aini kemudian membenarkan keempat-empat tertuduh diikat jamin RM362,000 dengan masing-masing seorang penjamin.

Selain itu, mereka juga dikenakan syarat tambahan iaitu perlu melapor diri di balai polis berhampiran setiap bulan, selain pasport diserahkan kepada mahkamah.

Mahkamah menetapkan 4 Januari 2023 untuk sebutan semula kes. – MalaysiaGazette