KUALA LUMPUR – Pergerakan Pemuda UMNO Kelantan tidak bersetuju sebarang kerjasama bersama Perikatan Nasional (PN) kerana ianya hanya mementingkan diri tanpa meletakkan kepentingan negara di hadapan.
Ketua Pemudanya, Noor Hariri Mohamed Noor berkata, UMNO tidak akan lupa dengan sifat Tan Sri Muhyiddin Yassin yang berdendam untuk mencari peluang untuk menghancurkan parti itu dengan kaedah pecah dan perintah.
Dakwanya, Muhyiddin awal-awal lagi telah membuat tindakan tidak bermoral untuk menjadi Perdana Menteri dengan ‘mencuri’ Ahli Parlimen BN daripada pintu belakang tanpa ada rundingan rasmi dengan Pengerusi BN Malaysia.
UMNO juga tidak akan pernah lupa bahawa Muhyiddin jugalah yang mendalangi Langkah Sheraton sehinggalah jatuh sebuah kerajaan, yang menjadi kepada permulaan episod negara Malaysia yang tidak stabil dan mengalami kemerosotan ekonomi akibat ketidakyakinan pelabur kepada kita akibat pelaksanaan darurat yang bermotifkan politik.
”Tiada niat lain bagi mereka hanyalah memenuhi ‘Personal Agenda’,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Beliau turut menyelar kenyataan Muhyddin semalam yang didakwanya telah memberi gambaran sebenar kepada rakyat bahawa calon Perdana Menteri Perikatan Nasional (PN) itu seorang yang angkuh dan sombong.
Noor Hariri menambah, Muhyiddin secara terang-terangan menyanggah permintaan Yang di-Pertuan Agong untuk mewujudkan Kerajaan Perpaduan setelah tiada satu parti pun mendapat majoriti mudah 112 kerusi selepas PRU15.
Dakwanya, sanggahan ini merupakan satu lagi siri penderhakaan kepada Istana tanpa langsung memikirkan kepentingan negara yang telah masuk hari keempat Parlimen Tergantung.
”Suka diingatkan bahawa komposisi kaum dan agama Ahli Parlimen yang diwakili oleh PN langsung tidak mencerminkan citra warna negara kita apabila hampir 99% Ahli Parlimennya adalah Melayu Islam.
”Oleh kerana itulah YDPA menyarankan agar ditubuhkan Kerajaan Perpaduan supaya suara rakyat daripada bangsa dan agama lain dapat digemakan di dalam Dewan Rakyat nanti,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
“Berdasarkan semua perkara di atas, Pemuda UMNO Kelantan amat kecewa dengan siri penderhakaan dan pengkhiantan yang masih diteruskan ini,” ujarnya. – MalaysiaGazette