Pengerusi Barisan Nasional, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi hadir bagi menghadap Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ketika di Istana Negara, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 23 NOVEMBER 2022.

KUALA LUMPUR – Sebuah kenderaan pelbagai guna jenis Toyota Vellfire yang dilengkapi dengan lampu strob (siren) mencuri perhatian petugas media yang membuat liputan perkembangan semasa di Pintu dua, Istana Negara pagi ini.

Difahamkan kenderaan berkenaan membawa Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Mohd Zuki Ali.

Kenderaan itu tiba pukul 10.12 minit pagi dan hanya berhenti sekali sahaja untuk pemeriksaan keselamatan yang dilakukan oleh polis meskipun, pihak berkuasa itu mengadakan dua sekatan di pintu masuk berkenaan.

Tidak lama kemudian, sebuah kereta pacuan empat roda yang membawa  Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan setiausaha agung komponen itu, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir tiba pada jam 10.44 pagi.

Pintu 2 Istana Negara menjadi tumpuan media hari ini susulan sesi mengadap secara individu ahli Parlimen dengan Yang Di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah yang dijadualkan berlangsung pukul 10.30 pagi. – MalaysiaGazette