KUALA LUMPUR – Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin menyeru Datuk Seri Anwar Ibrahim membuktikan beliau mendapat sokongan majoriti di Dewan Rakyat.
“Demi keyakinan rakyat akan keabsahan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri, adalah sewajarnya beliau membuktikan beliau mempunyai sokongan majoriti ahli-ahli Dewan Rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Pengerusi Pakatan Harapan itu mengangkat sumpah di Istana Negara, hari ini.
Jelasnya, perkara itu adalah selaras dengan prosedur yang ditetapkan Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun yang meminta calon Perdana Menteri menyerahkan akuan berkanun (SD) kepada Istana Negara.
Tambah beliau, ia perlu dibuktikan melalui proses yang ditetapkan oleh Yang di-Pertua Dewan Rakyat dalam surat bertarikh 22 November 2022 iaitu dengan kemukakan surat-surat akuan berkanun majoriti ahli-ahli Dewan Rakyat.
Ahli Parlimen Pagoh itu menegaskan, beliau masih mendapat sokongan majoriti Dewan Rakyat sebagai calon Perdana Menteri.
Katanya, ia dapat dibuktikan melalui SD daripada 115 Ahli Parlimen yang mencukupi untuk beliau dilantik sebagai Perdana Menteri sekali lagi.
Tambahnya, 114 SD itu diserahkan pada Isnin yang diakui diterima pihak Istana Negara serta menerima satu lagi SD keesokan harinya.
Muhyiddin berkata, jika Ahli Parlimen Tambun itu mampu membuktikan sedemikian, ia akan menyelesaikan kemelut kesahihan Anwar sebagai Perdana Menteri yang menjadi persoalan PN. – MalaysiaGazette
sudah sudah la…. kemaruk sgt nk jd PM. Agong dh perkenan Anwar jd PM. dh angkat sumpah pun. xkan nk derhaka lg!!!