KUALA LUMPUR – DAP mengarahkan semua peringkat pimpinan parti dan ahli-ahli akar umbi tidak menganjurkan sebarang bentuk sambutan atau acara konvoi kenderaan sempena pelantikan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri Ke-10.
Setiausaha Agungnya, Anthony Loke Siew Fook berkata, DAP menyeru semua pihak bertenang dan menghormati keputusan oleh Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja.
“Kerajaan yang bakal ditubuhkan adalah sebuah Kerajaan Perpaduan yang merangkumi pelbagai gabungan parti politik.
“Kita perlu bekerjasama dan bersatu padu dalam membantu Perdana Menteri mengemudi negara keluar daripada kemelut yang dihadapi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Anwar yang juga Presiden Pakatan Harapan secara sah telah mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Ke-10 di Istana Negara petang tadi.- MalaysiaGazette