Sulaiman Md Ali

MELAKA – Kerajaan negeri menyambut baik pelantikan Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri ke-10 oleh Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah tengah hari tadi.

Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali berkata, walaupun pelantikan itu tidak mengubah pentadbiran di peringkat negeri yang masih ditadbir Barisan Nasional (BN) berita itu disambut gembira kerana telah menamatkan kemelut pentadbiran di peringkat Pusat selepas PRU15.

“Saya yakin dan percaya Majlis Raja-raja kita telah buat keputusan yang baik dan tahniah saya ucapkan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Di peringkat kerajaan negeri walaupun di bawah BN selepas menang 21 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 20 November tahun lalu, tentulah kita akan bekerjasama dengan Anwar sekiranya BN ada dalam kerajaan Pusat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Sambutan Hari Kanak-kanak Peringkat Negeri di Dewan Putra Putri Rumah Kasih Tun Abdul Aziz Durian Daun, di sini hari ini.

Sulaiman (tengah) bergambar bersama peserta pertandingan Sambutan Hari Kanak-kanak Peringkat Negeri di Dewan Putra Putri Rumah Kasih Tun Abdul Aziz Durian Daun, Melaka hari ini.

Ditanya adakah pelantikan Perdana Menteri Ke-10 daripada PH itu akan membawa kesan kepada pentadbiran negeri Melaka, Sulaiman berkata, Melaka akan kekal sebagai negeri BN selepas menang 21 kerusi DUN pada PRN November tahun lalu.

“Melaka kita kekal sebagaimana keputusan PRN lalu, BN menang 21 daripada 28 kerusi DUN dan perubahan kerajaan di peringkat Persekutuan ini tidak menjejaskan pentadbiran Melaka,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast