Kelima-lima nama calon diumumkan oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya DUN Tioman, Datuk Ahmad Nasim Mohd. Sidek di Dewan Sultan Haji Ahmad Shah, Rompin

ROMPIN – Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) Dewan Undangan Negeri (DUN) Tioman menyaksikan pertandingan lima penjuru antara calon Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN), Pakatan Harapan (PH), Parti Pejuang Tanahair (Pejuang) dan seorang Bebas.

Penyandang kerusi DUN Tioman, Datuk Seri Johari Hussain yang mewakili Barisan Nasional (BN) akan ditentang Nor Idayu Hashim (PN), Mohd. Fadzli Mohd. Ramly (PH), Osman A. Bakar (Pejuang), Mohd Fadzli Mohd Ramly (PH) dan Sulaiman Bakar (Bebas).

Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Datuk Ahmad Nasim Mohd Sidek mengumumkan senarai calon yang bertanding pada 10.50 pagi, selepas proses penamaan calon di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah, di sini, ditutup pada 10 pagi.

“Kita menerima kertas pencalonan baharu daripada seorang calon pada hari ini, manakala calon yang telah disahkan pencalonan pada 5 November lepas tidak perlu menghantar kertas pencalonan mereka hari ini.

“Setelah selesai kertas-kertas pencalonan disemak, saya berpuas hati dan memutuskan tiada calon yang ditolak kertas pencalonannya,” katanya.

Pada hari ini, hanya Nor Idayu hadir bagi mengemukakan kertas pencalonan manakala calon lain hadir untuk proses undian bagi menentukan susunan nama pada kertas undi.

Bagaimanapun, calon PH hanya diwakili wakilnya, Manan Mohamad dalam proses itu kerana difahamkan beliau berada di ibu negara.

PRU15 DUN Tioman ditangguhkan selepas calon PN bagi kerusi itu, Md Yunus Ramli, 61, meninggal dunia pada 3.30 pagi hari pengundian 19 November lepas, dipercayai akibat serangan jantung.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan proses pengundian diadakan pada 7 Disember ini dan 3 Disember sebagai hari pengundian awal.  – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast