Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah

KUALA LUMPUR- Rakyat jelata tidak wajar dibebankan dengan kemelut politik yang tiada kesudahan tatkala negara memerlukan sebuah kerajaan yang stabil untuk merancakkan ekonomi dan pembangunan.

Sehubungan itu, Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong mengingatkan semua pihak supaya segera merapatkan saf.

Manakala ahli-ahli Dewan Rakyat yang telah dipilih pula perlu mempamerkan solidariti dengan memberikan keutamaan, komitmen yang tinggi dan perkhidmatan terbaik kepada rakyat.

“Yang menang tidak menang semua dan yang kalah tidak kalah semua.

“Justeru, bagaikan biduk berlalu, kiambang bertaut hulurkan tangan satu sama lain bagi merapatkan semula saf antara semua ahli dewan rakyat demi masa depan negara tercinta.”

Baginda bertitah demikian dalam satu kenyataan yang dikeluarkan melalui Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Datuk Seri Ahmad Fadil Shamsuddin, hari ini.

Tambah beliau, Seri Paduka Baginda turut berpesan Perdana Menteri dan kerajaan baharu baginda yang bakal dibentuk supaya mengambil resmi padi, semakin berisi semakin tunduk.

“Negara ini umpama harta pusaka di mana para pemimpin adalah pemegang amanahnya.

Harta pusaka ini perlu dijaga kerana ia bakal diwarisi oleh generasi muda yang akan membawa negara terus ke mercu kejayaan,” katanya lagi.- MalaysiaGazette

Artikel Berkaitan

 

Anwar Ibrahim Perdana Menteri ke-10