KUALA LUMPUR- Majlis Presiden Persatuan Akademik (MMPA) meminta supaya Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) terus dikekalkan meskipun kerajaan baharu bercadang untuk mengecilkan saiz Kabinet.
Presidennya, Ahmad Faisal Mohamed Fiah berkata, MPPA berpendapat, sektor pengajian akan dapat diurus dan ditadbir dengan lebih efisien jika diletakkan di bawah satu kementerian yang khusus.
Jelas beliau, sektor pengajian tinggi merupakan antara sektor yang besar dan mampu menyumbang kepada pembangunan negara secara holistik.
Katanya dalam satu kenyataan, sektor pengajian juga adalah elemen penting dalam pembangunan modal insan yang berdaya saing.
Menurut Ahmad Faisal, MPPA memahami dan menyambut cadangan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar yang mahu mengecilkan saiz Kabinet berbanding sebelum ini.
Ujarnya, cadangan itu baik untuk menjimatkan perbelanjaan kerajaan memandangkan ketidaktentuan ekonomi negara dan dunia pada masa ini.
Bagaimanapun, MPPA yang mewakili semua persatuan akademik universiti awam berpandangan terdapat sesetengah kementerian yang perlu dikekalkan.
Untuk rekod KPT ditubuhkan pada 2004 sebelum digabungkan dengan Kementerian Pendidikan pada 2013.
Namun penggabungan itu hanya bertahan kira-kira dua tahun sebelum diwujudkan semula pada 2015 hingga 2018.
Bagaimanapun, KPT dan KPM digabungkan semula pada 2018 sebelum diasing pada Mac 2020 sehingga kini. – MalaysiaGazette