KUALA LUMPUR – Remaja lelaki yang dipercayai mencabul seorang kanak-kanak perempuan dalam lif sebuah apartmen di Putrajaya Rabu lalu telah ditangkap.
Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner A Asmadi Abdul Aziz berkata, suspek yang berusia 19 tahun itu ditahan di Pasar Kajang, semalam.
“Suspek telah dicekup di Kajang semalam dan telah dihadapkan ke mahkamah pada pagi tadi untuk direman lima hari hingga 29 November ini di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah bagi membantu siasatan polis,” katanya.
Kes ini sedang disiasat di bawah Seksyen 14(1) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.
Lelaki itu ditahan selepas ibu mangsa membuat laporan polis selepas anaknya mendakwa dicabul lebih kurang jam 8.20 pagi 23 November lalu.
“Mangsa mengadu ketika dia menaiki lif dari aras G untuk ke tingkat lapan, dia telah diraba dan dicium di pipi oleh suspek.
“Suspek dikatakan terus lari di tingkat empat blok kediaman itu dan turun ke tingkat G sebelum menghilangkan diri dengan menaiki kereta sebuah kereta,” katanya ketika dihubungi hari ini. -MalaysiaGazette