KUALA LUMPUR – Johor Darul Ta’azim (JDT) FC muncul juara TM Piala Malaysia 2022 edisi ke-96 selepas menewaskan Selangor FC 2-1 pada final di Stadium Nasional Bukit Jalil, di sini, malam ini.
The Southern Tigers menewaskan Selangor FC dalam perlawanan akhir penuh sengit yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil malam ini untuk merangkul gelaran itu buat kali ketiga dalam sejarah kelab itu selepas 2017 dan 2019.
Kemenangan JDT ini sekali gus memusnahkan misi the Red Giants untuk menamatkan penantian selama tujuh tahun bagi menjulang piala berprestij itu buat kali ke-34 untuk kelab pada musim ini.
Dengan kemenangan ini, JDT melengkapkan Quadruple koleksi piala kelab tersebut selepas berjaya menjulang Piala Liga Super, Piala FA dan Piala Sumbangsih pada musim ini.
Malah skuad kendalian Ketua Jurulatih Hector Bidoglio juga mencipta sejarah sebagai pasukan pertama dalam sejarah penganjuran Liga Malaysia yang merekodkan kejayaan quadruple menyapu bersih kesemua empat piala dalam satu musim.
Selain itu pasukan selatan tanahair itu juga mengekalkan statusnya sebagai pasukan paling kebal apabila tidak tewas dalam semua pertandingan tempatan sepanjang musim ini.
The Southern Tigers yang menjadi pilihan juara majoriti penganalisis dan pemerhati sukan bola sepak tanahair sejak awal musim ini membuktikan kehebatan mereka untuk bangkit merampas gelaran itu kali ini selepas dikecewakan 2-0 oleh Kuala Lumpur City FC musim lalu.
Sejak awal perlawanan lagi, gawang JDT FC terus diasak bertalu-talu oleh the Red Giants dengan beberapa percubaan tepat bagaimanapun gagal diterjemahkan dalam bentuk gol.
Bagaimanapun, dengan berbaki seminit untuk separuh masa pertama tamat, skuad kendalian Tan Cheng Hoe berjaya mengejutkan gawang lawan dengan gol hasil sepakan penalti menerusi Herlison Caion De Souza Ferreira.
Namun, kegembiraan Selangor tidak kekal lama apabila Harimau Selatan berjaya bangkit menyamakan kedudukan menjadi 1-1.
Penyerang berbisa pasukan itu, Bergson da Silva berjaya menjaringkan gol penyamaan itu dengan tandukan kencang hasil sepakan penjuru yang dihadiahkan pada masa dua minit tambahan sebelum separuh masa pertama berakhir dengan keputusan seri.
Di separuh masa kedua JDT mula mengatur serangan dan mengawal perlawanan dengan beberapa percubaan.
Hasilnya pada minit ke-58 the JDT berjaya menggandakan jaringan menerusi hasil rembatan Fernando Martin Forestieri.
Berbekalkan dengan semangat hasil gol kedua itu, JDT terus mengasak gawang lawannya untuk menambah jaringan.
Selangor telah melakukan beberapa pertukaran pemain di separuh masa kedua namun tumpul dalam mencari gol penyamaan dan kemenangan dalam perlawanan malam tadi.
the Red Giants mendapat peluang terbaik untuk menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-85 namun berjaya diselamatkan penjaga gol JDT Mohd Faizal Marlias.
Tidak sampai seminit selepas itu, JDT mengatur serangan balas dan nyaris menambah gol ketiga, namun rembatan kencang itu berjaya ditepis oleh penjaga gol Selangor FC Mohd Khairulazhan Mohd Khalid.
Seramai 79,988 penonton telah hadir ke stadium menyaksikan perlawanan akhir itu malam tadi.
JDT melakukan pertukaran dengan membawa masuk Muhammad Syami Safari dan Muhammad Akhyar Abdul Rashid pada minit ke-88.
Selangor sekali lagi mendapat peluang untuk menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-89 bagaimanapun berjaya dinafikan penjaga gol JDT.
Akhirnya wisel penamat ditiup sebagai mengesahkan JDT FC juara TM Piala Malaysia musim ini.
Anugerah penjaring terbanyak telah kongsi oleh penyerang berbisa JDT FC Bergson da Silva dan Kpah Sherman dari Terengganu FC.
Manakala anugerah pemain terbaik perlawanan akhir juga menjadi milik Southern Tigers iaitu dimenangi pemain Fernando Felistieri.
Selangor FC diumumkan sebagai Naib Juara kejohanan kali ini dan piala disampaikan oleh Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari.
Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj mencemar duli berangkat menonton perlawanan tersebut dan menyampaikan piala kemenangan itu kepada pasukan JDT FC yang bergelar juara kali ini.-MalaysiaGazette