Timbalan Ketua UMNO Bahagian Batu, Datuk Ramlan Salleh (tengah) ketika membuat bantahan terhadap Ketua UMNO Bahagian Batu, Datuk Yahaya Mat Ghani untuk meletakkan jawatan pada sidang media berkenaan menyokong penuh kempimpinan UMNO dibawah Presiden Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan mendesak Ketua UMNO Bahagian Batu untuk meletakkan jawatan di Dewan Masyarakat Kampung Delima, Mukim Batu, Kuala Lumpur. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 26 NOVEMBER 2022.

KUALA LUMPUR – UMNO Bahagian Batu mendesak supaya penyandang Ketua Bahagiannya, Datuk Seri Yahaya Mat Ghani berundur dengan melepaskan jawatan tersebut ekoran kekalahan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lalu.

Ahli Jawatankuasa UMNO bahagian itu, Mohd. Rodzi Tajuddin berkata, Yahaya yang Pengerusi BN Batu perlu mengambil tanggungjawab itu kerana telah mengkritik Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi tanpa menggunakan saluran parti dan mendapat restu ahli-ahli UMNO bahagian itu.

Tegas beliau, lebih memalukan apabila  UMNO sudah tiga penggal kalah berturut-turut di Parlimen Batu di bawah Yahaya walapun Batu pernah menjadi kubu BN sebelum ini.

“Kami ingin mendesak Ketua UMNO Bahagian Batu dan juga Pengerusi BN Parlimen Batu meletakkan jawatan akibat gagal menjalankan tugas yang telah mengakibatkan BN Parlimen Batu kalah selama tiga penggal.

“Beliau juga membuat kenyataan mendesak Presiden UMNO juga perlu memohon maaf kepada Ahmad Zahid.

“Yahaya membuat kenyataan tanpa menggunakan saluran parti dan tanpa pengetahuan ahli-ahli UMNO Batu.

“Malah sepanjang beliau menjadi Ketua UMNO Bahagian Batu selama tiga penggal, kita gagal merampas kembali kerusi Parlimen Batu. Ini menunjukan beliau tidak mempunyai kompentesi dan bukannya menyuruh presiden parti meletak jawatan,” katanya.

Ahli Jawatankauasa Bahagian UMNO Batu, Mohd Rodzi ketika bercakap pada sidang media berkenaan menyokong penuh kempimpinan UMNO dibawah Presiden Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan mendesak Ketua UMNO Bahagian Batu untuk meletakkan jawatan di Dewan Masyarakat Kampung Delima, Mukim Batu, Kuala Lumpur. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 26 NOVEMBER 2022.

Turut hadir Timbalan Ketua UMNO Bahagian Batu, Datuk Ramlan Salleh.

Mohd. Rodzi turut memberitahu, UMNO Batu kekal menyokong kepimpinan parti di bawah Ahmad Zahid dengan mengambil kira semua ahli perlu bersatu ketika ini.

Ujar beliau, ahli-ahli UMNO boleh menggunakan peluang untuk menjatuhkan mana-mana pemimpin pada pemilihan parti yang akan diadakan dalam tempoh enam bulan akan datang.

“UMNO Batu turut mendesak presiden parti dan Majlis Kerja Tertinggi mengambil tindakan disiplin terhadap Ketua-Ketua UMNO Bahagian atau pun pemimpin UMNO yang menghasut, memburukkan, membuat kenyataan tanpa kebenaran terhadap kepimpinan parti,” katanya.

Sementara itu, Ramlan berkata, pemimpin dan ahli UMNO sepatutnya mencontohi Pas yang menjadi pembangkang sebelum ini tidak pernah mendesak pemimpin mereka meletak apabila parti kalah dalam pilihan raya.

Namun kata beliau, UMNO yang baru menjadi pembangkang sebelum ini pula yang sibuk untuk menjatuhkan kepimpinan tertinggi parti.

“Saya sebagai timbalan Ketua Bahagian UMNO dan ahli parti tetap menyokong kepimpinan Ahmad Zahid,” katanya.

Timbalan Ketua UMNO Bahagian Batu, Datuk Ramlan Salleh ketika bercakap pada sidang media berkenaan menyokong penuh kempimpinan UMNO dibawah Presiden Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan mendesak Ketua UMNO Bahagian Batu untuk meletakkan jawatan di Dewan Masyarakat Kampung Delima, Mukim Batu, Kuala Lumpur. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 26 NOVEMBER 2022.

Pada PRU15, Pakatan Harapan (PH) berjaya mempertahankan kerusi Parlimen Batu selepas penyandang P. Prabakaran (PH-PKR) meraih kemenangan dengan menewaskan sembilan pencabarnya.

Prabakaran menang dengan majoriti 22,241 selepas mengumpul 45,716 undi keseluruhan, jauh meninggalkan pesaing terdekat Chua Tian Chang @ Tian Chua, iaitu bekas Naib President PKR yang bertanding atas tiket Bebas, yang hanya memperoleh 4,603 undi.

Lima pencabarnya yang lain terdiri terdiri daripada Naib Presiden MIC Datuk A Kohilan Pillay yang mewakili Barisan Nasional (BN-MIC) memperoleh 10,398 undi, manakala Azhar Yahya daripada Perikatan Nasional (PN-PAS) mendapat 23,475 undi, diikuti peguam Wan Azliana Wan Adnan dari Pejuang (849 undi), Naganathan Pillai (Warisan) memperoleh 575 undi, dan Mohd Zulkifli Abdul Fattah (Parti Rakyat Malaysia) mengumpul 137 undi.

Tiga calon Bebas iaitu peguam Siti Zabedah Kasim atau lebih dikenali sebagai Siti Kasim, pempengaruh media sosial Nur Fathiah Syazwana Shaharudin @ Cleo dan Too Cheng Huat juga hilang wang deposit dalam cubaan mereka untuk merebut kerusi parlimen berkenaan. – MalaysiaGazette

Timbalan Ketua UMNO Bahagian Batu, Datuk Ramlan Salleh (tengah) ketika membuat bantahan terhadap Ketua UMNO Bahagian Batu, Datuk Yahaya Mat Ghani untuk meletakkan jawatan pada sidang media berkenaan menyokong penuh kempimpinan UMNO dibawah Presiden Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan mendesak Ketua UMNO Bahagian Batu untuk meletakkan jawatan di Dewan Masyarakat Kampung Delima, Mukim Batu, Kuala Lumpur. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 26 NOVEMBER 2022.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast