Nurnadhirah Zulkifli dan Nurnadhrah Zulkifli

SERDANG – Sepasang kembar seiras berjaya mencapai impian menjadi doktor perubatan selepas kedua-duanya menamatkan pengajian dalam bidang berkenaan di Universiti Putra Malaysia (UPM) hari ini.

Menjadikan ibu mereka yang merupakan seorang jururawat sebagai sumber inspirasi, pasangan kembar berusia 25 tahun itu, Nurnadhirah Zulkifli dan adiknya, Nurnadhrah berkata mereka mengimpikan untuk menjadi doktor perubatan sejak tamat sekolah menengah lagi.

Menurut Nurnadhirah mereka berasa bangga kerana dapat menghadiahkan kejayaan lulus dalam bidang yang sering dianggap sukar itu, buat ibu bapa mereka.

“Sebagai saudara kembar, segala pahit dan manis kami lalui bersama. Alhamdulillah kami dapat berkongsi kebahagiaan ini bersama mak dan ayah,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Konvokesyen UPM ke-46 sidang dua di Dewan Besar Pusat Kebudayaan dan Kesenian Sultan Salahuddin Abdul Aziz UPM, di sini hari ini.

Beliau berkata golongan muda khususnya wanita tidak harus berasa takut untuk mengejar impian menjadi seorang doktor dan menyambung pelajaran dalam bidang itu.

“Kalau ada semangat dan minat dalam bidang perubatan, jangan takut untuk menyambung pelajaran. Sekarang ini pun kita kekurangan doktor pakar wanita, kejar impian anda,” katanya.

Sementara itu, adiknya Nurnadhrah berkata ilmu yang dipelajari dalam bidang perubatan menjadikannya seorang yang lebih prihatin dan sentiasa ingin mencurah bakti kepada masyarakat.

“Saya harap dapat berbakti kepada masyarakat terutamanya kepada mereka yang pernah mencurahkan ilmu kepaa kami,” katanya.

Menurutnya fokus beliau selepas ini ialah menamatkan latihan siswazah selama dua tahun sebelum meneruskan pembelajarannya menjadi seorang pakar oftalmologi iaitu pakar dalam bidang kajian anatomi mata dan penyakit berkaitan dengannya.

Nurnadhirah pula berkata beliau ingin menjadi seorang pakar klinikal dalam diagnosis, rawatan dan pencegahan pelbagai penyakit akut serta kronik.

Dua beradik kembar itu merupakan antara 5,688 graduan UPM yang menerima ijazah dan diploma masing-masing dalam majlis konvokesyen berkenaan yang bemula semalam hingga 2 Dis ini.- BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast