zaid ibrahim majlis peguam agong
Zaid Ibrahim

KUALA LUMPUR – Selamatkan Kerajaan Perpaduan yang baharu dibentuk dahulu sebelum mana-mana pihak menerima cadangan agar usul percaya kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dibentangkan di Parlimen nanti.

Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim berkata, beliau sependapat dengan cadangan Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Ramkarpal Singh bahawa tiada keperluan bagi mengemukakan usul itu.

“Saya selalunya tidak berapa gemar kepada Ramkarpal Singh, pemimpin DAP Pulau Pinang ini tetapi cadangan dia tidak perlu usul percaya kepada Anwar, saya anggap sebagai nasihat yang baik.

“Sekarang ini selamatkan Kerajaan Perpaduan dahulu, tidak perlu kepada undi percaya atau tidak percaya kepada Anwar selaku Perdana Menteri.

“Pada saya, ia tidak sesuai sekarang selagi Kabinet tidak dibentuk dan Peguam Negara serta Speaker Dewan Rakyat tidak ditukar,” katanya menerusi rakaman video yang dimuat naik di akaun Facebooknya hari ini.

Di Georgetown hari ini, Ramkarpal Singh dilaporkan berkata, tiada keperluan bagi mengemukakan usul undi percaya terhadap Anwar pada sidang Dewan Rakyat pada 19 Disember ini bagi membuktikan keabsahan Ahli Parlimen Tambun itu sebagai Perdana Menteri.

Beliau berkata, ini kerana sudah jelas Perdana Menteri itu memperoleh majoriti besar melebihi 140 kerusi.

Ahli Parlimen dari DAP itu berkata, Pakatan Harapan (PH) kini diyakini mempunyai majoriti dua pertiga di Parlimen dengan sokongan daripada Barisan Nasional (BN), Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Menurut Zaid, Anwar mesti buat yang terbaik untuk rakyat dan negara dengan membentuk sebuah kerajaan yang kukuh. – MalaysiaGazette