Allahyarham Nawawi Ahmad

KUALA LUMPUR – Bekas Ahli Parlimen Langkawi, Datuk Nawawi Ahmad, 61, meninggal dunia di Frankfurt, Jerman kira-kira pukul 3 pagi ini.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, jenazah Ketua UMNO Bahagian Langkawi itu akan dikebumikan di negara tersebut.

“Beliau dalam urusan kerja sebagai Ahli Lembaga Pengarah Tenaga Nasional Berhad di Jerman. Jenazah akan dikebumikan di Jerman.

“Semoga rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama para solehin. Takziah kepada keluarga arwah. Turut berdukacita. Al Fatihah,” katanya dalam kenyataan.

Allahyarham memiliki pengalaman luas dalam bidang politik dan pernah berkhidmat selama sepenggal sebagai Ahli Parlimen Langkawi mulai 2013 hingga 2018.

Beliau turut berkhidmat selama dua penggal sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuah antara 2004 hingga 2013.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), allahyarham gagal mempertahankan kerusi Parlimen Langkawi kerana tewas kepada bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.-MalaysiaGazette